suria

Pelantikan Thangasvari Pengiktirafan Buat Masyarakat India - Presiden MIC

S. Subramaniam (dua, kiri) bersama Ketua Wanita MIC Mohana Muniandy (kiri) dan S. Thangasvari (empat, kanan) bergambar bersama dalam satu majlis pada Rabu. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Pelantikan S. Thangasvari selaku Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang baharu merupakan pengiktirafan bukan hanya kepada MIC malah kepada seluruh masyarakat India di negara ini, kata Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam. 

Beliau menyifatkan pelantikan bekas ketua Wanita MIC Perak itu sebagai bukti MIC tidak meminggirkan kaum wanita malah sumbangan sayap parti itu sentiasa dihargai. 

"Bagi MIC, pelantikan ini satu sejarah yang mana wanita MIC memegang jawatanyang tinggi. Ia juga mendapat reaksi positif dan diterima baik oleh masyarakat,"katanya pada jamuan malam meraikan Thangasvari anjuran Wanita MIC Rabu malam.  

Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Perak Datuk Seri DrZambry Abd Kadir atas pelantikan itu. 

Thangasvari, 68, semalam mencatat sejarah sebagai Speaker DUN Perak wanita pertama, menggantikan Datuk Seri S.K. Devamany yang meletak jawatan susulan pelantikannya sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam rombakan kabinet pada Jun.

Sementara itu, Ketua Wanita MIC M. Mohana melahirkan rasa bangga atas perkembangan itu dan menyifatkannya sebagai penghargaan yang tinggi kepada kaum wanita parti itu. 

"Ia amat bermakna kepada saya kerana wanita MIC dipilih sebagai Speaker wanita pertama di Perak dan sejarah ini dicatatkan di bawah kepimpinan saya,"katanya.    

Beliau berkata pelantikan itu juga merupakan pengiktirafan kepada kepimpinan Dr Subramaniam yang menerajui parti itu dengan cekap. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain