suria

Operator Kren Dipenjara Kerana Cederakan Isteri Dengan Topi Keledar

KUALA LUMPUR: Seorang operator kren dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini Rabu kerana menyebabkan kecederaan kepada isterinya menggunakan topi keledar dan batang tembaga.

Majistret Mahyuddin Mohamad Som menjatuhi hukuman itu ke atas S. Subramaniam, 38, selepas tertuduh mengaku bersalah mencederakan G. Pariyasamy, 32, di rumah mereka di Flat Sri Kota, Bandar Tun Razak, Cheras, di sini pukul 10 malam pada 2 Ogos lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman.

Tertuduh juga mengaku bersalah atas tuduhan melakukan kekerasan jenayah ke atas ipar perempuannya mengikut Seksyen 506, akta yang sama dan dijatuhi hukuman penjara empat bulan.

Mahkamah juga menjatuhi hukuman penjara dua bulan ke atas Subramaniam kerana melakukan perbuatan khianat dengan menyebabkan kerosakan pada tingkap dapur rumah dan dipenjara sebulan kerana gagal menunjukkan kad pengenalannya.

Majistret memerintahkan ketiga-tiga hukuman berjalan serentak mulai dari tarikh dia ditangkap pada 6 Ogos.

Terdahulu semasa merayu untuk meringankan hukuman, Subramaniam yang tidak diwakili peguam memohon meringankan hukuman kerana dia mempunyai seorang isteri dan tiga orang anak.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin meminta mahkamah menjatuhui hukuman yang setimpal kerana menyebabkan kecederaan kepada mangsa dan sebagai suami dia seharusnya menjaga isterinya dengan baik. - BERNAMA

Artikel Lain