suria

Zahid: Cadangan Gubal Akta Perlindungan Guru Akan Diteliti

Ahmad Zahid Hamidi.

BAGAN DATOH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan meminta Kementerian Pendidikan meneliti cadangan supaya Akta Perlindungan Guru digubal bagi melindungi pendidik di zaman yang semakin mencabar sekarang. 

"Saya akan minta Kementerian Pendidikan supaya meneliti usul itu dahulu sebelum ia dibawa ke Kabinet," katanya dalam ucapan penggulungan pada mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Bagan Datoh 2016, di sini Sabtu.

Mesyuarat yang dirasmikan Naib Presiden Umno merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein itu dihadiri 477 perwakilan. Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Usul bagi penggubalan akta itu diluluskan mesyuarat selepas dicadang oleh seorang perwakilan Wanita Umno, Zalilawati Majidah yang antara lain bertujuan melindungi guru daripada diserang, diugut dan diancam oleh pelajar serta ibu bapa ketika menjalankan tugas rasmi.

Menurut Zalilawati, penggubalan akta itu juga bagi memberi perlindungan dan pembelaan kepada guru sekiranya terlibat dalam sebarang kes semasa menjalankan tugas rasmi atau tidak rasmi dalam kawasan sekolah atau di luar sekolah. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain