suria

Jenazah Pengasas Pasar Raya Mydin Selamat Dikebumi

Aak kedua Allayarham Mydin Mohamed Ghulam Hussein, Datuk Ameer Ali Mydin (tiga, kanan) membantu ibunya, Rowshan Bhai (dua, kanan) menyiram air mawar ke pusara bapanya selepas dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarham Mydin Mohamed Ghulam Hussein, pengasas rangkaian pasar raya Mydin, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini pada pukul 3 petang Rabu.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba dari Hospital Pantai ke rumah anak lelakinya, Ahimmat Mydin di Taman Pantai, Bangsar pada pukul 10 pagi.

Jenazah kemudiannya disembahyangkan sebelum disemadikan.

Kira-kira 1,000 orang terdiri daripada anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan hadir di rumah keluarga beliau serta di tanah perkuburan.

Allahyarham Mydin, 88, meninggal dunia akibat sakit tua di Hospital Pantai, Kuala Lumpur pada 5.06 petang Isnin.

Lahir di Pulau Pinang pada 1928, Allahyarham meninggalkan isteri Rowshan Bai, 80, serta tujuh anak.

Turut hadir Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Anak Allahyarham yang juga Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin, 60, berkata, antara amanat terakhir bapanya ialah untuk melihat kesemua anaknya bekerjasama dalam mengembangkan perniagaan keluarganya itu.

"Arwah sering nasihat kepada kami adik-beradik supaya jangan terburu-buru untuk mengembangkan perniagaan, kestabilan perniagaan itu lebih penting dan patut diutamakan," katanya.

Kenalan rapat keluarga, Jaikishin Shewandas, 50, yang sudah mengenali arwah selama hampir 30 tahun berkata arwah merupakan seorang yang pendiam namun mudah didekati.

Katanya, arwah sangat prihatin terhadap kebajikan pekerjanya dan sangat dihormati dalam dunia perniagaan kerana kejujurannya.

"Beliau merupakan seorang individu yang mempunyai prinsip dan sangat kuat bekerja," katanya. - Bernama

Artikel Lain