suria

Wan Nawawi Dilantik SUK Terengganu Baharu Berkuat Kuasa Rabu

Wan Nawawi Wan Ismail.

KUALA TERENGGANU: Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu yang baharu berkuat kuasa pada Rabu.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pelantikan Wan Nawawi adalah bagi menggantikan Datuk Osman Muda yang akan bersara pada Rabu.

Ketika mengumumkan pelantikan itu, Ahmad Razif berkata, Pegawai Daerah Besut, Datuk A. Rahim Jusoh akan mengisi jawatan Pegawai Kewangan Negeri, menggantikan Wan Nawawi.

"Datuk Osman Muda akan bersara mulai esok, genap usianya 60 tahun dan kita merakamkan jutaan terima kasih kepada beliau yang telah berkhidmat selama 36 tahun sebagai pegawai tadbir kerajaan.

"Kita berharap, beliau akan terus membantu kerajaan negeri memandangkan pengalamannya yang begitu lama berkhidmat dengan kerajaan negeri," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Mengulas mengenai surat pelantikan jawatan itu yang tersebar di laman sosial sejak beberapa hari lepas sebelum pengumuman rasmi dibuat, Ahmad Razif berkata, pihaknya akan menyiasat perkara tersebut memandangkan ia adalah sulit. 

"Kita hairan bagaimana ia (surat pelantikan) boleh keluar dan jadi viral, sepatutnya tak boleh keluar sebab ia rahsia kerajaan, kalau sesiapa didapati menyebarkannya boleh diambil tindakan termasuk tindakan tatatertib. 

"Itu di bawah Akta Rahsia Rasmi yang belum boleh diumumkan selagi kerajaan tak umumkan...kita akan teliti dan membuat siasatan dalaman untuk melihat bagaimana surat pelantikan itu boleh didapati dan disebarkan terlalu awal...saya akan minta SUK yang baharu untuk ambil tindakan," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata, selagi belum diumumkan secara rasmi,  kerajaan berhak membuat sebarang pertukaran terhadap keputusan tersebut.

"Sepatutnya surat itu tak boleh keluar sebab ia berkuat kuasa esok dan sebelum pengumuman rasmi dibuat, apa-apa boleh berlaku...benda tak rasmi lagi, kita boleh ubah...kalau diviralkan, tiba-tiba perkara itu tak betul, nanti akan timbul implikasi lain, akan timbul tohmahan dan fitnah," katanya. - Bernama

Wan Nawawi Wan Ismail

Artikel Lain