suria

Pelantikan Sebagai Pengerusi PNB Tanggungjawab Besar - Wahid

KUALA LUMPUR: Tan Sri Abdul Wahid Omar menyifatkan pelantikannya sebagai pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang besar.

Pelantikan ini juga, katanya, amat bermakna kerana beliau pernah berkhidmat dengan dua buah syarikat di bawah naungan PNB, iaitu Kumpulan Maybank (2008-2013) dan Kumpulan Amanah Capital yang kini menjadi sebahagian daripada Kumpulan MIDF (1994-2001).

"Ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar untuk mengisi tempat yang sebelum ini disandang Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang telah banyak berjasa kepada PNB.

"Saya berjanji akan menjalankan tugas sebaik mungkin dengan jujur dan amanah," kata bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan, Jumaat.

Abdul Wahid turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera serta Lembaga Pengarah PNB di atas kepercayaan yang telah diberikan .

Najib hari ini mengumumkan pelantikan Abdul Wahid sebagai Pengerusi PNB yang baharu berkuat kuasa 1 Ogos 2016.

Abdul Wahid aadalah seorang akauntan bertauliah dan pernah mengetuai Maybank selepas menerajui transformasi Telekom Malaysia selain menerajui proses pemulihan UEM Group.

Semasa di Jabatan Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab menyelia pelbagai agensi kerajaan seperti Unit Perancang Ekonomi, Unit Kerjasama Awam-Swasta, Jabatan Perangkaan, Ekuinas, Talent Corporation, Teraju dan Yayasan Pendidikan Peneraju Bumiputera. -- Bernama

Wahid Omar, PNB

Artikel Lain