suria

Pastikan Sempadan Malaysia-Thai Tidak Ditembusi Pengganas Daesh - PAT

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin melihat barisan anggota tentera dari Batalion Keempat Rejimen Sempadan Kem Grik Perak yang akan bertugas pada Hari Raya di Pos Ibrahim Pencen, Rantau Panjang, ketika lawatan beliau ke kawasan Ops Wawasan, Jun lalu.

BANGKOK: Semua pihak terlibat dalam pengurusan sempadan Malaysia-Thai perlu sentiasa berwaspada dan siap siaga bagi memastikan sempadan bersama kedua-dua negara itu tidak ditembusi anasir pengganas Daesh.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata jawatankuasa tertinggi pengurusan sempadan kedua-dua negara telah menekankan kebimbangannya terhadap ancaman terbabit.

"Kami (Jawatankuasa Tertinggi Malaysia-Thai) tekankan kebimbangan kami pada ancaman IS (Islamic State atau Daesh), kemasukan anasir-anasir yang boleh memudaratkan keselamatan Malaysia dan Thailand di sempadan bersama." 

"Semua yang terlibat dalam pengurusan sempadan bersama Malaysia-Thai perlu tingkatkan kewaspadaan dan kesiapsiagaan untuk elak anasir-anasir (Daesh) daripada tembusi sempadan kita," katanya kepada Bernama, Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Malaysia-Thai ke-33 bersama rakan sejawatannya dari Thailand Jen Sommai Kaotira di sini.

Zulkifeli mahukan semua pihak dalam pengurusan sempadan menjalin kerjasama rapat pertukaran maklumat perisikan untuk menangani ancaman anasir pengganas Daesh.

Usaha menangani ancaman pengganas Daesh di sempadan bersama Malaysia-Thai menurut beliau, sedang giat dilaksanakan pihak pengurusan sempadan kedua-dua negara.

Mengenai cadangan pembinaan tembok dan pagar di sempadan Malaysia-Thai, Zulkifeli berkata ia akan membantu usaha membanteras masalah penyeludupan di kawasan sempadan bersama, dengan lebih berkesan terutamanya membabitkan manusia.

Bagaimanapun katanya, Malaysia dan Thailand masih berusaha mencari titik kesepakatan mengenai perkara itu dan rundingan kedua-dua pihak mengenai perkara berkenaan akan diteruskan.

"Kami masih dalam proses mengenal pasti di mana tembok dan pagar itu akan dibina," katanya dan menambah, tembok dan pagar sempadan itu jika dipersetujui akan dibina secara bersama di atas sempadan bersama.

Jika kedua-dua negara mencapai kata sepakat mengenainya, perkara itu akan dikemukakan pada Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Malaysia-Thai yang dijangka berlangsung di Kuala Lumpur November ini, katanya.

Mesyuarat GBC hujung tahun ini akan dipengerusikan Menteri Pertahanan  kedua-dua negara.

Zulkifeli berkata memandangkan tembok dan pagar itu dicadang dibina atas sempadan bersama, maka kos pembinaan serta penyelenggaraannya juga dikongsi bersama, memastikan penjimatan yang besar bagi kedua-dua negara.

Sementara itu dalam kenyataan bersama dikeluarkan jawatankuasa tertinggi selepas mesyuarat hari ini menyatakan rasa puas hatinya terhadap kemajuan semua aktiviti yang dijalankan oleh jawatankuasa tertinggi serta Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC).

Mesyuarat juga bersetuju untuk memperkuat kerjasama dua hala sedia ada dalam perkara membabitkan keselamatan, imigresen dan pengurusan sempadan di kawasan sempadan bersama Malaysia-Thai.

Menerusi usaha-usaha sebegini menurut mesyuarat itu, ia bukan sahaja mengekalkan keamanan dan kestabilan tetapi juga meningkatkan pembangunan di kawasan sempadan serta pengurusan bersama sempadan.-- Bernama






Artikel Lain