suria

DBKL Tawar Kadar Khas Kompaun Trafik Bermula 6 Ogos

Datuk Seri Mhd Amin Nordin
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan kadar khas kompaun trafik sempena kempen 'Membayar Tunggakan Hasil DBKL' di 32 lokasi di seluruh ibu negara bermula 6 hingga 20 Ogos ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata dalam tempoh itu, pesalah trafik yang mempunyai tunggakan kompaun hanya perlu membayar RM20 bagi motosikal.

Beliau berkata bagi kereta, kenderaan pelbagai guna (MPV), van, lori kecil, pikap dan kenderaan utiliti sukan (SUV) pesalah hanya perlu membayar RM30 manakala RM100 bagi kenderaan berat.

"Sepanjang tahun lepas, 1.2 juta kompaun tertunggak bernilai RM1.4 juta melibatkan kesalahan trafik dicatatkan dan DBKL berharap agar melalui kadar khas ini warga kota boleh mengambil peluang melunaskan hutang masing-masing," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Mhd Amin Nordin berkata melalui kempen itu juga, warga kota boleh membayar cukai taksiran, sewa perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA), sewaan gerai pasar di kaunter-kaunter yang disediakan.

Beliau berkata kaunter berkenaan dibuka dari 9 pagi hingga 2 petang dan senarai lokasi boleh didapati di laman web DBKL www.dbkl.gov.my.

Tambahnya, sebanyak RM102 juta daripada RM1.2 bilion cukai taksiran tidak dijelaskan oleh pemilik harta, manakala RM32 juta daripada RM64 juta sewa perumahan PPR/PA tidak dijelaskan dan RM7.5 juta daripada RM17 juta sewaan gerai pasar turut didapati tertunggak.

"Sebaik tamat tempoh kempen ini, DBKL akan mengambil tindakan tegas iaitu operasi sita dan tindakan mahkamah ke atas pemilik harta yang gagal melunaskan tunggakan cukai taksiran mereka.

"Bagi penyewa kediaman PPR/PA serta gerai pasar, DBKL akan menamatkan penyewaan dan juga tindakan mahkamah," kata Mhd Amin Nordin.

Mengenai iklan atau poster haram, beliau berkata DBKL akan membatalkan lesen premis terhadap syarikat yang menampal iklan atau poster secara haram di kawasan awam.

Selain itu, deposit akan dikenakan bagi setiap permohonan lesen premis baharu dan pelanggaran klausa larangan mempamer iklan haram akan menyebabkan deposit diambil serta-merta.

Sepanjang tahun lepas hingga 15 Julai tahun ini, 1.6 juta poster dan iklan haram telah diturunkan oleh pasukan penguat kuasa khas membanteras iklan dan poster haram dengan 672 kompaun dikenakan.

Artikel Lain