suria

CA Baharu Star-NUJ Fokus Kumpulan Berpendapatan Rendah

PETALING JAYA: Kumpulan Media Star dan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Star telah menandatangani Perjanjian Kolektif (CA) ke-13 mereka pada Rabu.

Tidak seperti sebelum ini, perjanjian terbaru beralih daripada pelarasan gaji tradisional berdasarkan peratusan kepada memberi tumpuan kepada mereka yang berpendapatan gaji yang lebih rendah.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Star dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Wong Chun Wai berkata kumpulan itu amat menyedari kesan kenaikan kos kepada pekerja.

"Bagi CA kali ini kami telah memberikan perhatian tambahan kepada mereka dalam kategori berpendapatan rendah dan ini telah memaksa kita untuk beralih daripada pelarasan gaji tradisional.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kesatuan kerana menerima kaedah berbeza pelarasan gaji ini," katanya sebelum majlis menandatangani perjanjian.

Turut menandatangani CA bagi syarikat itu ialah Ketua Pegawai Operasi, Calvin Kan dan Pengurus Sumber Manusia, Terence Raj.

Sementara itu NUJ diwakili oleh Presidennya, Chin Sung Chew; Setiausaha Agung, Schave Jerome de Rozario; Pengerusi NUJ Cawangan Star, Christina Low dan Setiausaha, Qishin Tariq.

Selain itu Wong juga bercakap mengenai bagaimana kewartawanan telah "berkembang secara drastik" selama ini, terutama dari segi medium dan kelajuan.

"Kita tidak boleh terus mengatakan bahawa kita digajikan untuk media cetak dan oleh itu tidak boleh terlibat dalam kewartawanan digital atau berasaskan video," katanya.

Beliau juga memberi nasihat kepada wartawan yang enggan menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran: "Jika anda terus memupuk pemikiran kuno ini, maka anda tidak akan berubah."

Low berkata CA kali ini telah mengambil kira kebajikan pekerja.

NUJ Star, NUJ, Perjanjian Kolektif

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain