suria

409 Mangsa Di Tujuh Pusat Pemindahan Di Kedah Setakat 12 Tengah Hari

ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 409 orang pada tengah hari Selasa berbanding 179 orang pagi tadi, dengan tujuh pusat pemindahan masih beroperasi sementara tiga telah ditutup.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Mejar (PA) Imran Azemi berkata mangsa melibatkan 101 keluarga dari dua daerah iaitu Kuala Muda dan Yan.

Bagi daerah Yan, jumlah mangsa yang ditempatkan di Surau Teroi Bukit kekal 100 orang, Masjid Titi Teras (38) dan Surau Nurul Huda Batu 18 1/2 (10).

Di Kuala Muda, seramai 217 mangsa ditempatkan di Dewan Keda dan Surau Kampung Tepi Sungai, Surau Kampung Batu 5 Jalan Jeniang (22), Surau Kampung Sungai Rotan (12) dan Surau Kampung Guar Stesen (10).

Beliau berkata tiga pusat pemindahan yang ditutup ialah di Surau Kampung Seputeh dan Surau Kampung Tawar di Baling serta Surau Kampung Lubuk Boi di Yan yang ditutup awal pagi berikutan air yang semakin surut.

Sementara itu Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Yan, Roslan Ishak berkata mangsa telah dibekalkan dengan barangan keperluan seperti selimut, tikar, makanan serta kit bencana.

"Jika ada mana-mana pihak atau badan bukan kerajaan yang ingin menyalurkan bantuan dan sumbangan, kita harap ia dapat dilakukan secara berpusat agar tidak berlaku pertindihan bantuan," katanya.

Ketua Polis Daerah Yan, DSP Muhamad Halim Yatim pula berkata secara keseluruhan pegawai dan anggota keselamatan yang bertugas ialah seramai 99 orang terdiri daripada pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),JKM, Jabatan Kesihatan dan Pejabat Daerah serta Syarikat Air Darul Aman (Sada).

"Dari segi keselamatan, pihak polis akan meningkatkan kawalan keselamatan dan rondaan terutamanya pada waktu malam menerusi unit MPV dan URB polis bagi memastikan tidak berlaku kejadian jenayah di rumah-rumah mangsa banjir.

"Kita juga sentiasa bersiap siaga bagi berdepan dengan keadaan yang lebih buruk, sekiranya hujan lebat yang kembali turun kira-kira pukul 10 pagi tadi berlarutan," katanya.

Banjir Kilat

Artikel Lain