suria

Khalid Ibrahim Ragu-Ragu Dengan Gabungan Pembangkang

Tan Sri Khalid Ibrahim
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menyatakan keraguannya terhadap pakatan pembangkang baharu di mana ia turut melibatkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, gabungan cadangan itu yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan sebuah parti baru yang belum dinamakan, tidak mempunyai prinsip atau perjuangan jelas sebaliknya hanya mahu menggulingkan golongan tertentu dalam kerajaan.

"Mereka tidak boleh menyelesaikan masalah yang mereka hadapi melalui cara ini. Ini kerana Amanah tidak ada ketetapan pendirian, PKR juga dan DAP juga mempunyai hala tuju yang mungkin ada samanya, tetapi lebih kepada tidak banyak persamaan," katanya kepada The Star ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya, Ahad.

Khalid berkata demikian sebagai mengulas pengumuman oleh bekas perdana menteri dan presiden Umno tentang rancangan untuk menubuhkan parti baharu yang akan bekerjasama dengan PKR, DAP, Amanah, pertubuhan bukan kerajaan dan individu di bawah pakatan pembangkang untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

Ahli Parlimen bebas Bandar Tun Razak ini berkata, gabungan itu setakat ini tidak menyediakan satu rangka kerja yang jelas bagi rakyat dan penubuhannya hanya dibincangkan antara pemimpin untuk kepentingan pihak tertentu.

"Mereka hanya berbincang dalam kumpulan mereka tentang bagaimana untuk menjatuhkan orang-orang tertentu.

"Tidak ada usaha yang jelas untuk menentukan rancangan mereka jika mereka berjaya mencapai sasaran.

"Saya rasa mereka tidak harmoni. Saya berharap trend politik ini boleh dikurangkan kerana rakyat sudah letih dengan perkembangan politik yang tidak berkesudahan," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan menyertai gabungan itu, Khalid berkata ia tidak mungkin kerana kerjaya politiknya telah berakhir selepas beliau memegang jawatan Menteri Besar Selangor.

Artikel Lain