suria

Mahkamah Tinggi Benarkan Najib Ketepi Afidavit Dr M

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Isnin membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengenepikan afidavit bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan memutuskan ia sebagai dengar cakap dan boleh menimbulkan perbalahan.

Pada 15 Februari tahun ini, Dr Mahathir memfailkan afidavit untuk menyokong permohonan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik untuk membatalkan saman perdana menteri.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili Najib memberitahu pemberita bahawa Hakim Datuk Nor Bee Ariffin berpendapat afidavit Dr Mahathir merupakan dengar cakap kerana beliau tidak menyatakan alasan, sumber maklumat dan sama ada beliau mengetahui secara peribadi akan maklumat itu.

"Afidavit beliau (Dr Mahathir) ialah suatu dengar cakap dan boleh menimbulkan perbalahan, dan ia tidak menyatakan sumber, alasan dan pengetahuan peribadi mengenainya, oleh itu ia tidak boleh diterima dan diambil kira dalam permohonan Dr Ling untuk membatalkan saman itu, kata Mohd Hafarizam selepas keputusan itu disampaikan di dalam kamar.

Beliau berkata mahkamah memerintahkan Dr Ling membayar RM5,000 sebagai kos dan menetapkan 24 Ogos bagi mendengar kedua-dua permohonan Najib untuk mengenepikan pernyataan pembelaan Dr Ling dan cubaan Dr Ling untuk membatalkan saman Najib. - BERNAMA


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain