suria

Polis Pengiring Maut Kemalangan Di Lebuhraya Utara Selatan

Gambar hiasan.

IPOH: Seorang polis pengiring maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandunya hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 256.4, arah utara, Lebuhraya Utara-Selatan di sini, petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Ahmad Termizi Abd Haq berkata, dalam kejadian 5.10 petang itu, Sarjan Mejar Gambaris Saingaw @ Watmin Saiman, 56, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping maut di tempat kejadian.

Dalam kemalangan itu juga, isteri mangsa, yang merupakan kerani di Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah IPD Taiping, Nor Hayati Meor Mohamed, 58, hanya mengalami cedera ringan. 

"Hasil siasatan mendapati mangsa bersama isterinya dalam perjalanan dari Ipoh menghala ke Taiping. SUV jenis Toyota yang dipandu mangsa telah hilang kawalan dan terbabas ke tepi kiri jalan. 

"Akibatnya, SUV berkenaan terbalik dan melanggar pembahagi jalan serta mengalami kerosakan serius bahagian depan. Kemalangan berlaku ketika hujan," katanya ketika dihubungi di sini, Ahad malam.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. - Bernama


Artikel Lain