suria

Najib: Bekerjasama Dengan Pasukan Keselamatan Perangi Pengganas Di Negara Ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor melambaikan tangan ke arah para pengunjung pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan jemaah menteri di Seri Perdana, Rabu.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri).

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat Malaysia agar bekerjasama dengan kerajaan dan pasukan keselamatan dalam memerangi kumpulan pengganas di negara ini.

Sebagai contoh, beliau berkata mereka boleh memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya berlaku kejadian atau aktiviti yang mencurigakan.

"Kita berada dalam era globalisasi. Apabila kita berada dalam dunia yang tiada sempadan, maka, apa yang berlaku di luar negara kita, ia akan ada tempias dan menular di negara kita, biar soal ekonomi atau keselamatan.

"Sebagai asas, kita harus menolak fahaman ekstremisme, militan. Gunakan kesedaran, wasatiyah sebagai landasan," katanya ketika lintas langsung Astro Awani bersempena Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana di sini, Rabu.

Sementara itu, Najib berkata kerajaan sentiasa meningkatkan keselamatan negara dan mengambil tindakan penguatkuasaan dalam usaha membendung Daesh.

Beliau menyarankan semua pihak supaya memainkan peranan untuk meningkatkan kefahaman rakyat tentang Islam yang sebenar.

Perdana menteri berkata insiden serangan pengganas di Madinah merupakan perbuatan yang mencemarkan imej Islam berikutan segelintir kecil yang beragama Islam tetapi tidak faham Islam yang sebenar dan membunuh mereka yang tidak berdosa.

"Ia merupakan satu kesalahan cukup besar di sisi Islam. Maka, kita harus terus berusaha selain mengambil tindakan dalam bentuk penguatkuasaan, kita perlu meningkatkan kefahaman rakyat tentang 'authentic Islam'," katanya ketika lintas langsung bersama Bernama News Channel (BNC).

Sementara itu, ketika ditemubual oleh RTM, Najib berkata semua lapisan masyarakat perlu bersatu dalam usaha memerangi ancaman keganasan terhadap negara.

Katanya walaupun pihak berkuasa sentiasa meningkatkan tahap kawalan keselamatan, usaha tersebut tidak akan membawa hasil terbaik jika tidak mendapat sokongan rakyat. 

"Tetapi jika rakyat sendiri turut bersama-sama dengan kerajaan dalam hal ini, saya percaya kita dapat menjaga keselamatan negara," katanya.

Sementara itu, Najib berkata kerajaan komited untuk mencari jalan meningkatkan proses penyampaian kerajaan.

"Agenda (kerajaan) belum selesai. Ia memakan masa tetapi ia membawa pembaharuan yang ketara. Contohnya pengangkutan awam dan pembinaan jalan raya.

"Sambungan LRT dilancarkan baru-baru ini dan MRT pada Disember ini merupakan pemangkin cukup besar. Ia satu 'game changer' kepada pengangkutan awam negara," katanya.

Mengenai majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri, Najib berkata ia merupakan satu keunikan di negara ini dan perlu dikekalkan.

Kira-kira 70,000 pengunjung menghadiri majlis rumah terbuka ini. Pengunjung tiba seawal 9 pagi untuk merayakan Aidilfitri bersama pemimpin-pemimpin negara.-- Bernama

Najib Tun Razak, pengganas, Daesh

Artikel Lain