suria

Guan Eng Akan Didakwa Di Bawah Akta SPRM Hari Ini

Lim Guan Eng
GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Khoon akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang di sini, Khamis di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Guan Eng dan Li Khoon ditahan SPRM pada Rabu berhubung isu pembelian banglo oleh Guan Eng di Jalan Pinhorn di sini dengan harga RM2.8 juta yang dikatakan di bawah harga pasaran hartanah di kawasan itu.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dijadual mengetuai barisan pendakwaan.

SPRM dalam kenyataan pada Rabu berkata pendakwaan terhadap Guan Eng dan Li Khoon dijadual pada pukul 10 pagi.

Sementara itu, polis menjalankan kawalan ketat di kawasan mahkamah bagi memastikan kelancaran proses pendakwaan hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata beberapa jalan utama ke mahkamah ditutup dan hanya peguam bela, keluarga dan kenalan rapat Guan Eng dan Li Khoon dibenarkan berada di kawasan mahkamah.

"Penyokong dan mereka yang tidak berkaitan tidak dibenarkan berada dalam kawasan mahkamah atas faktor keselamatan. Polis akan mengambil tindakan jika ada yang engkar dengan arahan polis," katanya ketika dihubungi.

Guan Eng sebelum ini disiasat SPRM berhubung pembelian sebuah banglo di Jalan Pinhorn di sini dengan harga RM2.8 juta daripada Li Khoon dan dikatakan di bawah harga pasaran.

Pada Mei lepas, Guan Eng dan isterinya Betty Chew memberi keterangan di pejabat SPRM berhubung siasatan pembelian banglo itu dan penjualan tanah di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin di sini bagi membina rumah mampu milik kepada sebuah syarikat swasta.

Isu pembelian banglo dan penjualan tanah di Taman Manggis itu dibangkitkan Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya pada persidangan Dewan Rakyat pada Mac lepas.

Artikel Lain