suria

Tiga Lelaki Ditahan Kes Buli Jalan Raya

SHAH ALAM: Gara-gara berebut jalan, seorang pemandu lori berusia 29 tahun lebam di muka dan tangan akibat dipukul tiga lelaki dalam satu kes buli jalan raya di Persiaran Mokhtar Dahari, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata polis menerima maklumat kira-kira 7.18 pagi tadi mengenai seorang pemandu lori cedera akibat dipukul dengan sebatang besi oleh suspek yang menaiki sebuah van di persiaran itu.

Beliau berkata tiga suspek itu, bagaimanapun ditahan beberapa minit kemudian di sekitar Shah Alam.

"Hasil siasatan mendapati mangsa yang kini menerima rawatan di Hospital Besar Shah Alam dicederakan suspek kerana berebut jalan," katanya dalam  kenyataan menerusi WhatsApp.

Shafien berkata polis merampas sebatang besi dan serangkai kunci lori milik mangsa daripada suspek berusia antara 23 dan 38 tahun, yang bekerja sebagai pemandu van sekitar Kuala Selangor.

Katanya ketiga-tiga mereka ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Dalam perkembangan lain, Shafien berkata seorang penunggang maut selepas motosikal dinaikinya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Proton Saga di Persiaran Bandaraya di sini, hari ini.

Mangsa dikenal pasti sebagai Ahmad Shafiq Mohamad, 24, dari Kuala Selangor.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, kereta Proton Saga dari arah Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor menuju ke sebuah hotel di sini, secara tiba-tiba mengundur dan membelok ke kanan sebelum mangsa yang datang dari arah belakang bertembung di sisi kanan kereta tersebut.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Artikel Lain