suria

Bom Puchong: Polis Siasat Semua Aspek Termasuk Elemen Pengganas

KUALA LUMPUR: Polis akan melakukan siasatan dari semua aspek termasuk elemen pengganas berhubung kejadian letupan bom di sebuah pusat hiburan di Puchong semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya perlu melakukan siasatan lanjut terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Bagi kami jalankan siastaan terlebih dahulu dan siasatan adalah meliputi kesemua aspek termasuk pengganas.

"Kenyataan berhubung kes ini hanya akan dibuat apabila perlu sahaja," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Topi Keledar kepada anggota polis trafik di sini, Rabu.

Turut hadir Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh, Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Datuk Mahamad Akhir Darus dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad Datuk Seri Shazalli Ramly.

Katanya, orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi di laman sosial berhubung kejadian itu.

Semalam, sekurang-kurangnya lapan cedera, seorang daripadanya parah, dalam insiden letupan dipercayai berpunca daripada bom tangan di sebuah premis hiburan di IOI Boulevard, Puchong dekat sini.

Ditanya mengenai kekerapan berlakunya kejadian tembak ketika ini, Khalid berkata pihaknya akan pertingkatkan rondaan termasuk penguatkuasaan di sempadan negara bagi menyekat penyeludupan senjata api ke negara ini.

"Kebanyakan mereka yang terlibat dalam kes tembak adalah penjenayah yang mendapatkan senjata api secara seludup dari negara jiran," katanya.

Sepanjang bulan Jun sahaja, terdapat tiga kes tembak dengan yang terbaru berlaku awal pagi tadi.

Seorang pengurus besar syarikat swasta cedera parah ditembak individu yang menaiki motosikal ketika memandu kereta di Lebuhraya Utara Selatan dekat Desa Petaling awal pagi ini

Terdahulu, sebanyak 300 buah topi keledar jenama Givi sumbangan Celcom Axiata diserahkan kepada anggota polis trafik yang bertugas sepanjang cuti perayaan Aidilfitri ini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain