suria

Othman Mustapha Dilantik Semula Sebagai KP Jakim

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju melantik semula Tan Sri Othman Mustapha sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) secara kontrak selama setahun.

Othman akan bersara wajib (60 tahun) pada 1 Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam kenyataan pada Rabu berkata pelantikan semula itu berkuat kuasa mulai 1 Julai ini hingga 30 Jun 2017.

"Pelantikan semula ini adalah mengambil kira ketokohan dan kecemerlangan Othman sebagai Ketua Pengarah Jakim sejak 23 April 2011 yang mendapat pengiktirafan pelbagai pihak dalam atau luar negara," katanya.

Othman berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang syariah dan telah mula berkhidmat di Jakim sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam sejak 1982.

Sepanjang perkhidmatan, beliau pernah bertugas antaranya sebagai Atase Agama di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia; Pengarah Bahagian Penerbitan Jakim, Pengarah Bahagian Dakwah Jakim dan Pengarah Jakim Cawangan Sarawak.

Othman Mustapha, Jakim

Artikel Lain