suria

Najib Minta Ibu Bapa Pastikan Anak Diberi Vaksin Imunisasi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta ibu bapa supaya memastikan anak-anak mereka diberi vaksin imunisasi sebagai langkah pencegahan daripada dijangkiti penyakit berbahaya.

Beliau berkata tindakan segelintir ibu bapa enggan memberi suntikan vaksin atau mengikuti program imunisasi bukan sahaja membawa mudarat kepada anak mereka, malah berupaya membawa kepada penularan semula penyakit berjangkit yang telah lama berjaya dikawal daripada merebak di Malaysia.

Menurutnya Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan Kementerian Kesihatan, yang diperkenalkan lebih 50 tahun dahulu, diberikan secara percuma dan bersandarkan kepada syariat Islam di dalam konsep Maqasid Syariah iaitu Hifz Al-Nafs, atau pemeliharaan jiwa.

"Alhamdulillah, melalui program imunisasi ini, kita telah berjaya mengatasi dan membendung penularan pelbagai jenis penyakit berjangkit. 

"Tetapi segala usaha ini akan menjadi sia-sia sekiranya ada dalam kalangan kita yang menyebarkan berita-berita dan khabar angin yang menimbulkan keraguan terhadap pemberian vaksin atau imunisasi ini," kata beliau dalam blognya,NajibRazak.com, Khamis.

Perdana menteri berkata adalah lebih malang lagi apabila berita-berita palsu itu disebarkan dengan menggunakan alasan agama Islam oleh orang Islam sendiri.

"Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 195, mafhumnya, '... dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan'...Wallahu’alam.”   

"Sebagai umat Islam, sememangnya hanya kepada Allah SWT kita berharap, tetapi pada masa sama harapan itu harus kita sertakan dengan usaha, seperti firman Allah SWT dalam Surah Ar Ra’d ayat 11, 'Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.' Wallahu’alam.”

Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa terutamanya yang beragama Islam tidak mudah terpengaruh dengan berita-berita dan khabar angin itu.

”Utamakan kesihatan anak-anak anda dan jadilah ibu bapa yang bertanggungjawab,” kata Najib.

Perdana menteri juga meminta mereka yang menyebarkan berita dan khabar angin itu dengan menggunakan alasan agama supaya tidak memandai-mandai dan berhenti daripada berbuat demikian.

Beliau berkata mereka sepatutnya merujuk kepada pihak yang lebih tahu mengenai perkara berkenaan.

Najib mengulas kematian kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun akibat dijangkiti bakteria difteria di Melaka pada Selasa lepas dan satu lagi kematian akibat kes sama di Kedah pada Rabu.     

Sambil melahirkan kesedihan beliau di atas kematian kanak-kanak itu, beliau  berkata difteria adalah sejenis jangkitan "yang telah lama berjaya kita tangani dan mudah dicegah dengan penggunaan vaksin dalam program imunisasi."

Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa kedua-dua kanak-kanak itu tidak menerima imunisasi difteria yang lengkap dan meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan.-Bernama

Najib Tun Razak, Vaksin, Difteria

Artikel Lain