suria

Lembaga Pelabuhan Samarinda Di Indonesia Sahkan Penculikan Anak Kapal

Dian Megawati Ahmad, menunjukkan gambar suaminya, Ismail, salah seorang anak kapal yang diculik. -The Jakarta Post/ANN
SAMARINDA (Indonesia): Pihak berkuasa pelabuhan di sini mengesahkan bahawa tujuh anak kapal Indonesia di atas bot TB Charles telah diculik oleh kumpulan yang tidak dikenali di perairan Filipina.

"Kami boleh mengesahkan penculikan itu. Kami bekerjasama dengan polis dan tentera untuk membuat tindakan susulan terhadap laporan itu," kata Ketua Lembaga Pelabuhan Samarinda Kolonel Yus Kusmany, Khamis.


"Kami dimaklumkan mengenai penculikan itu oleh salah seorang anak kapal, Syaril, yang menaiki bot itu. Kali terakhir kami berhubung dengannya pada pukul 10.20 pagi Khamis. Bot itu berada di kawasan sekitar tanjung Mangkaliat," kata Kusmany.

Tujuh daripada anak kapal bot itu telah diculik manakala enam yang lain telah dibebaskan. Bot itu dijangka tiba di Samarinda pada petang Jumaat.

Bot itu berlepas ke Samarinda pada 4 Jun dan dijangka pulang pada 27 Jun.

Kumpulan pengganas Abu Sayyaf dilaporkan menuntut wang tebusan sebanyak RM20 juta daripada pemilik bot, PT Rusianto Bersaudara, untuk melepaskan tebusan, menurut panggilan telefon yang diterima oleh Dian Megawati Ahmad, isteri kepada salah seorang daripada anak kapal yang diculik, Ismail , pada Rabu.

Datuk Bandar Samarinda Syaharie Jaang dilaporkan melawat Rusianto Bersaudara, susulan laporan pada Khamis. - The Jakarta Post/Asia News Network

Artikel Lain