suria

"Tiada Tekanan Letak Jawatan" - Abu Kassim

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed melambai tangan selepas mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuatkuasa pada 1 Ogos di Ibu Pejabat SPRM, Khamis. -fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Tan Sri Abu Kassim Mohamed menegaskan bahawa tiada tekanan daripada mana-mana pihak untuk beliau memendekkan penamatan kontraknya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sepatutnya berakhir pada 4 Disember 2018.

Sebaliknya ia merupakan permohonan kali ketiga dibuatnya bagi mempercepatkan penamatan tempoh kontraknya dan kali ini diluluskan oleh kerajaan, katanya.

"Ini (permohonan) adalah atas permintaan saya. Saya telah menyatakan dalam kenyataan yang lepas-lepas, saya tidak akan bertindak mengundurkan diri atas mana-mana tekanan. Ini adalah jelas, berkali-kali saya nyatakan.

"Permintaan ini adalah atas kehendak saya terutamanya apabila saya mendapat peluang untuk memberi sumbangan di peringkat antarabangsa yang boleh meningkatkan nama Malaysia dan SPRM ke tahap lebih tinggi.

"Ini adalah satu peluang keemasan yang dapat membantu saya dan negara. Saya tidak boleh menolak begitu sahaja," katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM di sini Khamis.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Abu Kassim, 55, tidak akan meneruskan perkhidmatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM mulai 1 Ogos ini, seperti dimohonnya.

Selaras dengan subseksyen 5(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan permohonan Abu Kassim untuk menamatkan perkhidmatannya itu dengan memberi sebulan notis, katanya.

Abu Kassim turut menjelaskan antara sebab beliau mempercepatkan penamatan tempoh kontraknya adalah kerana menerima tawaran daripada International Anti-Corruption Academy (IACA) sebagai pakar jemputan di Universiti Pencegahan Rasuah di Austria, di bawah tajaan Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Katanya beliau juga akan menunaikan tanggungjawabnya sebagai pensyarah, penyelidik serta memberi khidmat rundingan di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

"Saya akan terus berkhidmat sebagai pegawai kerajaan sehingga bersara wajib pada 6 Disember 2020," kata Abu Kassim.


Artikel Sebelum

Artikel Lain