suria

Jenazah Allahyarham Bill Kayong Akan Dikebumi Jumaat Ini

MIRI: Jenazah Allahyarham Bill Kayong yang ditembak mati individu tidak dikenali di persimpangan lampu isyarat Lutong pada 8.30 pagi Selasa akan dikebumikan pada Jumaat ini.

Presiden Persatuan Dayak Sarawak (Pedas) Kapten Collin Imran Abdullah berkata jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 1 selepas sembahyang Jumaat.

"Sebelum dikebumikan, acara memberi penghormatan terakhir mengikut adat Iban akan dilakukan selama dua malam berturut-turut mulai malam ini (di rumah Allahyarham)," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embah  mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mahu semua pihak memberi kerjasama kepada polis dalam siasatan kes bunuh itu.

"Polis telah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes ini dan kita berharap penjenayah terlibat akan segera dihadapkan ke muka pengadilan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Seorang lagi Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing yang melakukan lawatan kerja di Miri hari ini turut berharap penjenayah terbabit dapat ditahan secepat mungkin dan menurutnya insiden itu telah menjejaskan imej bandaraya Miri.

"Saya akan menziarah keluarga mangsa tengah hari ini untuk memberikan penghormatan terakhir," katanya.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar M. M. Sree Shunmugam berkata pasukan Penyiasat Forensik Tempat Kejadian (CSI) Bukit Aman akan tiba di sini hari ini untuk membuat pemeriksaan di tempat kejadian dan pada kenderaan mangsa.

"Apa yang menyedihkan tiada sesiapa yang mungkin telah menyaksikan insiden tembakan itu tampil untuk membantu siasatan, kami sekali lagi merayu kepada pengguna jalan raya yang berada di tempat kejadian untuk menghubungi kami di bilik operasi IPD Miri di talian 085-433730 dan 085-433400," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata sesiapa yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Lee Chee Keat di talian 012-3436388.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain