suria

Dua Lelaki Cedera Ditembak

KUALA LUMPUR: Dua lelaki cedera ditembak dari jarak dekat di persimpangan jalan besar Sunway Batu Caves, ketika sedang menunggu lampu isyarat, pada tengah hari Selasa.

Dalam kejadian berkenaan, kedua-dua mangsa yang memandu dalam kereta berasingan, masing-masing berusia 30 dan 34 tahun cedera di bahagian pipi dan kepala.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad berkata berdasarkan maklumat saksi, dipercayai dua suspek lelaki warga tempatan terlibat.

"Salah seorang (suspek) keluar dari kereta dan meluru ke arah kereta jenis proton Satria warna kuning (milik mangsa) lalu membuka pintu pemandu dan melepaskan tembakan menggunakan pistol ke arah pemandu.

"Kemudian suspek terus menghala ke arah kereta jenis suzuki warna putih (milik mangsa) dan membuka pintu pemandu lalu melepaskan tembakan ke arah pemandu sebelum melarikan diri menghala ke lebuhraya MRR2," katanya.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti suspek dan sedang giat mengesan mereka.

Ali berkata motif kejadian bagaimanapun masih disiasat dan menambah kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Selayang.

Sementara itu, seorang saksi yang bekerja di sebuah premis perniagaan berdekatan lokasi kejadian berkata mangsa daripada kereta jenis Satria sempat meminta pertolongan orang ramai untuk menghubungi rakannya.

"Selepas suspek melarikan diri, mangsa keluar daripada kereta, namun hanya mampu meminta tolong dengan bahasa isyarat kerana mulutnya cedera ditembak.

"Manakala seorang lagi mangsa bagaimanapun masih mampu memandu keretanya sebelum memberhentikan keretanya di stesen minyak berhampiran kira-kira 100 meter dari lokasi," katanya.

Seorang lagi saksi berkata beliau terdengar sekurang-kurangnya tiga das letupan yang disangkanya bunyi mercun.

"Saya pun tidak sangka yang kejadian tembak macam ini boleh berlaku di jalan yang sibuk begini, kejadian berlaku sangat cepat, saya tak sempat lihat suspek," katanya yang enggan dikenali. - BERNAMA

tembak, MRR2

Artikel Lain