Wujud Kumpulan Jalankan Kegiatan Pengiring Haram Di Ibu Kota - Semasa | mStar

Wujud Kumpulan Jalankan Kegiatan Pengiring Haram Di Ibu Kota

KUALA LUMPUR: Beberapa kumpulan yang menjalankan perkhidmatan mengiring kenderaan secara haram dikesan aktif di ibu kota dengan sebahagian mereka bertindak berani menyamar sebagai anggota trafik.

Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Nadzri Hussain berkata kegiatan tidak bertanggungjawab itu dilakukan dengan bayaran serendah RM300 untuk setiap perjalanan.

"Menurut maklumat risikan serta soal siasat terhadap suspek yang pernah ditahan, bayaran yang mereka peroleh sangat lumayan.

"Bayangkan jika satu perjalanan RM300? Berapa banyak mereka boleh dapat dalam sehari," katanya kepada Bernama.

Mohd Nadzri berkata dalam tempoh Januari sehingga awal Jun ini, lima individu berusia antara 26 hingga 38 tahun ditahan kerana terlibat kegiatan itu.

"Ada kes di mana suspek ditahan ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi  jenis Honda CBX 750, yang menyerupai motosikal milik anggota polis trafik.

"Selain itu, ada yang menjalankan kegiatan itu menggunakan kereta dan mereka membunyikan siren sama seperti digunakan polis untuk kenderaan memberi laluan," katanya.

Mohd Nadzri berkata pelanggan kumpulan ini terdiri daripada orang perseorangan dan juga kenamaan (VIP).

"Cara mereka mendapat pelanggan masih dalam siasatan. Mereka ini bertindak 'samseng' di atas jalan raya, mereka menahan kereta, menghalang lalu lintas dan menyebabkan kesesakan di jalan raya.

"Kumpulan ini tiada ilmu untuk menjalankan kegiatan iring kenderaan dan mereka hanya akan mendatangkan kemarahan pengguna jalan raya lain," katanya.

Mohd Nadzri berkata pihak polis memandang serius kegiatan ini kerana ia  mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

"Tiada undang-undang yang memberikan hak kepada orang awam untuk memberhentikan kenderaan untuk beri laluan. Ia hanya kuasa polis trafik," katanya.

Beliau berkata anggota polis trafik sendiri perlu menjalani latihan berkala untuk memahirkan diri ketika melakukan tugas mengiring kenderaan.

"Anggota trafik perlu menghadiri kursus selama sebulan. Jadi mana mungkin orang awam yang tiada kemahiran secara tiba-tiba ingin jalankan kegiatan ini," katanya.

Mohd Nadzri menegaskan aktiviti ini memberi imej yang tidak baik kepada polis kerana jika berlaku kemalangan polis yang akan dipersalahkan.

"Bayangkan jika berlaku kemalangan ketika mereka mengiring kenderaan? Sudah tentu orang awam akan kata polis yang buat salah.

"Ini yang kita tidak mahu, saya telah arahkan anggota dan pegawai untuk memantau aktiviti ini dan menahan mereka yang dikesan menjalankan kegiatan ini di ibu negara," katanya.

Beliau berkata segala aktiviti mengiring kenderaan yang dilakukan oleh anggota trafik di sekitar ibu kota direkodkan oleh pihaknya.

"Oleh itu kami akan tahu segala pergerakan anggota pengiring di mana-mana tempat," katanya.

Beliau berkata, mereka yang menjalankan kegiatan ini boleh disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai anggota polis, dan membawa hukuman penjara maksimum empat tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

pengiring haram , PDRM

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

Artikel Lain