suria

KUALA LUMPUR: Projek terowong bawah laut Pulau Pinang berdepan risiko pembatalan susulan arahan penangguhan kajian daya maju oleh kerajaan negeri, kata Pengerusi Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli (gambar).

Beliau berkata kerajaan negeri Pulau Pinang mahu kajian yang menelan kos RM100 juta itu yang sudah 83 peratus siap, ditangguhkan bagi tempoh masa yang tidak pasti, tanpa memberikan sebarang alasan.

"Kami menerima arahan untuk menghentikan kajian daya maju itu bulan lepas.

Tiada alasan diberikan, mereka hanya mahu kami menumpukan kepada membina cadangan tiga jalan raya utama di negeri itu secepat mungkin," katanya pada sidang akhbar mengenai kemajuan projek tersebut, di sini, Selasa.

Zarul Ahmad juga berkata tiada jaminan ganti rugi oleh kerajaan negeri sekiranya projek itu ditangguhkan.

Terowong bawah laut itu yang menghubungkan Persiaran Gurney dan Bagan Ajam, merupakan sebahagian daripada projek Jalan Raya dan Terowong Utama Pulau Pinang (PMRT) yang bernilai RM6.3 bilion, satu inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri untuk mengurangkan kesesakan jalan raya.

Projek itu juga dijangka dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negeri, mewujudkan peluang pekerjaan, memudahkan pindahan teknologi dan kemahiran teknikal daripada syarikat pembinaan bereputasi dan meningkatkan standard hidup penduduk di koridor utara.

Consortium Zenith dianugerahkan projek itu menerusi proses tender.

Mengenai tiga lebuh raya PMRT itu, Zarul Ahmad berkata projek tersebut dijangka bermula pada September tahun ini.

Ketika ini, syarikat itu sedang menunggu kelulusan akhir daripada Jabatan Alam Sekitar bagi Penilaian Awal Kesan Alam Sekitar ke atas kajian daya maju dan reka bentuk terperinci projek tersebut, katanya.

Dengan jarak sejauh 20.5 kilometer, tiga pakej lebuh raya itu ialah Jalan Pesisir Pantai Utara (menghubungkan Tanjong Bungah dan Teluk Bahang), Lebuh Raya Pintasan Ayer Itam-Tun Dr Lim Chong Eu dan Lebuh Raya Pintasan Persiaran Gurney-Tun Dr Lim Chong Eu.

Projek itu dijangka siap pada 2021.

"Konsortium telah melabur kira-kira RM10 juta dalam kajian daya maju dan reka bentuk terperinci bagi setiap jalan raya," katanya.

Artikel Lain