suria

MB Kedah Alami Komplikasi Usus Tapi Tidak Serius

Ahmad Bashah Md Hanipah.

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah disahkan mengalami komplikasi usus namun tidak serius, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Bakar Din.

Bagaimanapun beliau berkata Ahmad Bashah perlu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk mendapat rawatan sepenuhnya daripada pakar-pakar perubatan dan kini berada dalam keadaan sedar serta stabil.

"Pasukan perubatan sedang berusaha pulihkan keadaan. Dalam sehari dua ini jika keadaan normal, beliau akan dimasukkan ke wad biasa untuk pemeriksaan selanjutnya," katanya dalam sidang media di Kedah Medical Centre di sini Ahad.

Ahmad Bashah dikejarkan ke KMC pada malam Sabtu selepas pitam ketika menghadiri mesyuarat bersama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah di Hotel Grand Alora kira-kira pukul 7 petang, sebelum dikejarkan ke KMC pada 7.15 petang.

Ditanya tempoh Ahmad Bashah bercuti, beliau berkata tiada tempoh ditetapkan untuk menteri besar bercuti kerana ia bergantung kepada keadaan kesihatan beliau.

Bakar tidak menolak kemungkinan bahawa menteri besar keletihan disebabkan jadual program yang padat yang memerlukan beliau untuk turun padang bersama rakyat.

"Menteri besar dari semalam sudah sedar, beliau tidak jatuh (pitam) pun, cuma viral di media sosial cerita macam-macam, pakar sedang buat penelitian cuma beliau masih dalam ICU," katanya, dan meminta semua rakyat mendoakan kesejahteraan Ahmad Bashah.

Justeru, beliau meminta orang ramai supaya tidak melawat Ahmad Bashah buat masa sekarang bagi memberi ruang kepada beliau untuk berehat secukupnya.

Ditanya sama ada menteri besar akan menjalani pembedahan, beliau berkata tahap kesihatan Ahmad Bashah ketika ini tidak memerlukan beliau untuk menjalani pembedahan, namun ini bergantung kepada keputusan pakar perubatan.

Mengenai aspek pentadbiran negeri, Bakar berkata pentadbiran negeri akan berjalan seperti biasa dibantu exco kanan dan pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Hanya mesyuarat exco yang sepatutnya dipengerusikan Ahmad Bashah yang terpaksa ditangguhkan, katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan isteri Toh Puan Temenggong Datuk Seri Tengku Maliha Tengku Ariff tiba di KMC kira-kira 1.20 tengah hari untuk melawat Ahmad Bashah.

Turut hadir barisan exco kerajaan negeri, Anggota Dewan Undangan Negeri dan Pengasas D'Herbs Datuk Aliff Syukri Kamaruzzaman.

Sementara itu isteri menteri besar, Datin Seri Hizam Awang Ahmad berkata suaminya kini ditempatkan di ICU dan berpuasa sejak 12 tengah malam tadi bagi menjalani pemeriksaan dalaman.

"Dia masuk ICU tapi keadaan tidak kritikal. Buat masa ini beliau tak boleh makan lagi dan doktor hanya tambah air dan glukosa serta makan ubat yang telah disediakan," katanya kepada pemberita selepas melawat Ahmad Bashah.

Hizam berkata Ahmad Bashah merupakan seorang yang sangat mementingkan kesihatan, namun sejak menjadi menteri besar, beliau kerap tidur lewat berikutan aktiviti jadual yang padat.

"Biasalah kadang-kadang pukul 2 pagi baru tidur, bangun pukul 6 pagi. Tapi dia tak pernah mengadu sakit dan letih," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain