suria

Bahasa Siam Belum Dapat Diperkenal Di Sekolah Kerana Kekurangan Guru

PADANG TERAP: Subjek bahasa Siam belum dapat diperkenalkan di sekolah kebangsaan kerana kekurangan guru yang berkelayakan, walaupun cadangan mengenainya telah dibuat Kementerian Pendidikan tiga tahun lalu.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementerian perlu membekalkan guru berkemahiran dan bertauliah terlebih dahulu untuk mengajar subjek tersebut sebelum ia dapat diperkenalkan di sekolah-sekolah kebangsaan.

"Setakat ini belum lagi sebab kita perlukan guru yang berkelayakan untuk mengajar kerana kekurangan guru," katanya kepda pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Masyarakat Siam Padang Terap di sini Sabtu.

Pada Februari 2013, Timbalan Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata subjek bahasa Siam akan diperkenalkan semula di sekolah kebangsaan dalam usaha memartabatkan bahasa itu dalam kalangan murid berketurunan Siam dan memberi peluang kepada murid lain mempelajarinya sebagai subjek tambahan.

Menurutnya pelaksanaan subjek itu melibatkan sekolah yang mempunyai 15 atau lebih pelajar berketurunan Siam terutama di negeri seperti Kedah, Perlis dan Kelantan.

Mahdzir yang juga Anggota Parlimen Padang Terap berkata, beliau menyedari kepentingan bahasa Siam sama seperti bahasa-bahasa ibunda yang lain, namun buat masa ini pengajaran bahasa Siam hanya mampu dibuat di Wat Siam yang memperuntukkan bilik darjah untuk kelas bahasa tersebut.

Di Padang Terap sendiri katanya, terdapat lima buah sekolah di kawasan Wat Siam yang membolehkan anak-anak berketurunan Siam mempelajari bahasa Siam, dengan purata tempoh pembelajaran lima hingga enam kali seminggu.

"Kita sebagai ahli parlimen juga beri peruntukan (untuk sekolah) ini. Bahasa Siam juga diajar di Wat Siam memberi mereka pengetahuan berkaitan bahasa masing-masing," katanya.

Seramai 1,200 masyarakat Siam yang berasal dari Padang Terap mendapat bantuan makanan keperluan asas dan wang tunai yang disampaikan Mahdzir. - BERNAMA

Bahasa Siam, sekolah kebangsaan

Artikel Sebelum

Artikel Lain