suria

Laporan SPRM: Hubungan Azmin-Wan Azizah Mungkin Retak

Rafizi Ramli ketika keluar dari bangunan SPRM, Isnin. -fotoTHESTAR
PETALING JAYA: Tindakan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli membuat laporan mengenai dakwaan rasuah dalam kerajaan Selangor yang diterajui oleh Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Azmin Ali berkemungkinan besar menyebabkan parti itu berdepan ancaman perpecahan.

Perselisihan dalam parti yang menyaksikan Azmin berada di satu pihak dan presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di pihak yang lain sudah menjadi rahsia terbuka sebelum perkembangan terbaru ini.

Rafizi memasuki bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Malaysia sekitar tengah hari Isnin untuk mengemukakan maklumat mengenai individu tertentu, yang tidak dinamakannya, berhubung kerajaan negeri yang didakwa berurusan dengan rasuah.

Dr Wan Azizah, orang yang dilihat sejajar dengan Rafizi telah mengarahkan beliau untuk mengemukakan sebarang bukti dakwaan rasuah itu kepada SPRM.

Dakwaan itu pertama kali muncul dalam mesej kumpulan WhatsApp ahli PKR yang kemudiannya bocor ke pengetahuan umum.

Rafizi kemudian mengesahkan bahawa dia telah menulis mesej tersebut.

Dalam satu kenyataan pada 20 Mei mengenai dakwaan Rafizi itu, Azmin telah mengecam dakwaan itu, menyatakan bahawa beliau tidak mengemukakan bukti.

Tuduhan itu katanya merupakan sebahagian daripada kempen terancang untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri.

Pada Isnin, Menteri Besar Selangor tidak menghadiri beberapa majlis yang dijadualkan dan enggan memberikan kenyataan sebagai respons kepada langkah terbaru Rafizi yang melaporkan dakwaan rasuah kepada SPRM.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago (DAP) berkata sebarang perbalahan dalam parti itu tidak akan memberi kesan kepada pilihan raya kecil (PRK) akan datang.

"Nampaknya perbalahan dalaman sebahagian besarnya adalah dalam PKR. Memandangkan Amanah bertanding di Sungai Besar, kesannya adalah kecil," katanya.

Rafizi sendiri enggan mengulas lanjut lanjut mengenai aduannya.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa adalah 'jarang-jarang' untuk seorang pemimpin kanan parti membuat laporan terhadap ahli parti sendiri tetapi menegaskan bahawa 'ia sepatutnya dibuat dengan cara itu'.
Rafizi Ramli, rasuah, SPRM, Azmin Ali

Artikel Lain