suria

Ahli Umno Jadi Calon, Pencadang, Penyokong Parti Pembangkang Akan Dipecat - Ku Nan

Tengku Adnan Tengku Mansor.

PUTRAJAYA: Mana-mana ahli Umno yang menjadi calon, pencadang atau penyokong parti pembangkang dalam pilihan raya akan dipecat, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Katanya, perkara itu telah pun termaktub dalam perlembagaan Umno dan tindakan tegas serta-merta akan diambil kepada ahli parti yang menentang Umno.

Tengku Adnan berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai tindakan anggota Pemuda Umno Syed Rosli Syed Harman Jamalullail yang mengumumkan di media sosial bahawa beliau akan bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.

Syed Rosli berkata, beliau kecewa dengan keputusan Barisan Nasional (BN) berhubung pemilihan calon.

Syed Rosli, adalah penolong setiausaha Pemuda Umno Cawangan Taman Cempaka.

"Jika benar dia (Syed Rosli) bertanding dia akan dipecat...Kita tunggu sahaja 5 Jun ini (tarikh penamaan calon)," kata Tengku Adnan.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan bercakap kepada media selepas menyerahkan sumbangan Nur Ramadan kepada 52 surau sekitar Putrajaya serta Taklimat Bantuan Asnaf Putrajaya di sini malam Selasa.

BN menamakan Datin Mastura Mohd Yazid, balu Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, sebagai calonnya pada PRK itu.

PRK itu diadakan berikutan kematian Wan Mohammad Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Hari mengundi PRK tersebut yang diadakan serentak dengan PRK Sungai Besar ialah 18 Jun. - BERNAMA

Artikel Lain