suria

Hudud: Wee, Beberapa Pemimpin MCA Lain Sedia Letak Jawatan

Wee Ka Siong.

KUALA LUMPUR: Lebih ramai pemimpin MCA termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong akan mengundur diri daripada jawatan dalam kerajaan jika Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang dikemukakan PAS diluluskan.

"Sebagai anggota Kabinet dan pemimpin MCA, kami berpegang kepada tanggungjawab dalam usaha menegakkan prinsip kesederhanaan di Malaysia. Kami mempunyai tugas dan kewajipan untuk menyatakan bantahan terhadap RUU itu.

"Oleh itu, kami akan melepaskan jawatan menteri sekiranya RUU itu diluluskan di Dewan Rakyat," kata Dr Wee dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum itu, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Sabtu antara pemimpin pertama yang menyatakan hasrat untuk meletak jawatan sebagai Menteri Pengangkutan jika RUU itu diluluskan di Parlimen.

Kedua-dua Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Naib Presiden, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata mereka akan mengikut jejak langkah Liow dalam apa jua keputusan yang dibuat.

"Kami bersama-sama dengan presiden. Apa sahaja keputusan yang dibuat, kami akan menyokong beliau. Bukan beliau sahaja yang akan meletak jawatan tapi kami pun akan melakukannya," kata Ong.

Chew berkata tindakan pemimpin parti akan selari dan konsisten dengan presiden.

"Kami akan mengikut jejak langkah beliau," katanya.

Ketua Pemuda MCA, Senator Chong Sin Woon turut mengesahkan sokongan beliau terhadap tindakan tersebut.

"Saya berdiri teguh di belakang kepimpinan tertinggi MCA dan akan mengikut jejak langkah beliau tanpa sebarang persoalan," katanya.

Pemimpin tersebut bercakap kepada pemberita selepas satu taklimat khas berkaitan hudud diadakan kepada ahli parti di Wisma MCA di sini pagi Ahad.


MCA, hudud, Wee Ka Siong

Artikel Lain