suria

Penunggang Maut, Pemandu Cedera Parah Dalam Kemalangan

GERIK: Seorang lelaki maut dan seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan kereta Perodua Kancil dan Toyota Avanza di KM 37 Lebuhraya Timur-Barat berdekatan Pusat Perikanan Darat, Banding dekat sini, pagi Ahad.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gerik Meor Mohamad Mohd Tahir berkata penumpang Perodua Kancil, Mohd Faris Ibrahim, 25, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gerik.

Pemandu Perodua Kancil, Norhakimi Kamaruddin, 25, pula cedera parah dalam kemalangan pada pukul 7.58 pagi manakala pemandu Toyota Avanza itu, Mohd Nazri Hasbullah, 38, hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama.

"Difahamkan, kereta Toyota Avanza itu dalam perjalanan dari Gerik ke Jeli manakala kereta Kancil itu sedang dalam perjalanan dari arah bertentangan sebelum bertembung.

"Pemandu kereta Kancil dan penumpangnya tersepit dalam kereta itu memaksa anggota bomba memotong bumbung kereta dan merenggangkan pintu kereta bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa," katanya ketika dihubungi.

Menurut Meor Mohamad, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Gerik namun Mohd Faris meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital itu.

Gerik

Artikel Lain