suria

Polis Seremban Tumpas Sindiket Sijil Cuti Sakit Palsu

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Muhamad Zaki Harun (tengah) menunjukkan buku sijil cuti sakit palsu yang dirampas dari satu sindiket ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Seremban, Jumaat.
Turut hadir Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Seremban ASP Razip Ismail (dua,kiri).

SEREMBAN: Bahagian Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menumpaskan sindiket penggunaan sijil cuti sakit palsu dengan tertangkapnya sembilan suspek termasuk dua wanita dan empat penjawat awam minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki berkata pada 18 Mei, pihak polis menerima maklumat atas keraguan sijil cuti sakit yang dikeluarkan oleh sebuah klinik di Seremban.

"Ekoran itu laporan dibuat dan kami menyiasat tiga lelaki yang menggunakan sijil cuti sakit palsu.

"Hasilnya kami menangkap seorang lelaki berumur 35 tahun yang bekerja sebagai atendan letak kereta di sebuah syarikat swasta dan kami mengesan seorang lagi lelaki berusia 36 tahun di Setapak, Kuala Lumpur yang membekalkan sijil cuti sakit palsu ini," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Polis merampas tujuh helai sijil cuti sakit palsu dari pelbagai hospital dan klinik daripada lelaki itu dan siasatan masih diteruskan serta pihak polis percaya masih ada lagi suspek yang terlibat dalam kegiatan tersebut.

"Siasatan mendapati kegiatan ini telah pun berlaku sejak tahun 2010 lagi.

Dalam tangkapan ini ia turut melibatkan empat penjawat awam iaitu tiga yang bertugas di Negeri Sembilan dan seorang di Putrajaya. Mungkin lepas ini, kami akan dapat banyak lagi pendedahan mengenai perkara ini," katanya.

Muhamad Zaki berkata, ekoran itu juga, pada 25 Mei lepas pihak polis membuat serbuan di sebuah rumah di Paroi di sini dan menahan sepasang suami isteri berusia 33 dan 29 tahun.

"Dalam rumah tersebut kami menemukan tujuh buku sijil cuti sakit palsu dan merampas enam keping sijil cuti sakit palsu dan 15 cap pelbagai klinik dan doktor yang mengeluarkan sijil cuti sakit palsu.

"Kami turut menahan dua pelanggan termasuk seorang wanita, yang datang ke rumah itu untuk membeli sijil cuti sakit palsu ini semasa kami membuat pemeriksaan. Siasatan awal mendapati sijil ini dijual dalam harga RM20 dan RM25 sekeping," katanya.-- Bernama


Artikel Lain