suria

Jenazah Jabing @ Muhammad Dijangka Tiba Di Miri Petang ini

SINGAPURA: Jenazah Jabing Kho, rakyat Malaysia yang hukuman mati terhadapnya dilaksanakan di Singapura pada Jumaat, dijangka tiba di Lapangan Terbang Miri, Sarawak, kira-kira 4 petang ini.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura mengesahkan perkara ini kepada Bernama di sini, Ahad.

Seorang anggota keluarga memberitahu Bernama baru-baru ini bahawa jasad Jabing dijangka disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Batu 1, Jalan Kuala Baram, Miri.

Jabing, 31, yang menganuti agama Kristian sebelum ini, memeluk Islam ketika di dalam penjara dan memilih Muhammad sebagai nama baharunya.

Berasal dari Ulu Baram, Sarawak, dia dijatuhi hukuman mati enam tahun lepas setelah didapati bersalah membunuh seorang pekerja binaan warga China, Cao Ruyin dalam cubaan merompak di Geylang Drive di sini pada 2008.

Semalam, Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuannya di saat akhir untuk penangguhan pelaksanaan hukuman gantung dan dia menjalani hukuman itu pada 3.30 petang di Kompleks Penjara Changi di sini.-- Bernama


Jabing Kho, Miri, Singapura, Islam

Artikel Lain