suria

Peniaga Didakwa Cuba Lakukan Seks Luar Tabii Ke Atas Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR: Walaupun hampir enam tahun kejadian  berlaku, namun keadilan tetap mahu ditegakkan apabila seorang peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cuba melakukan seks luar tabii terhadap kanak-kanak lelaki di sebuah tandas, pada 2010.

Jakarullah Nurun, 36, yang berasal dari Semporna, Sabah, mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu terhadap kanak-kanak berusia sembilan tahun empat bulan di Jalan Klang Lama, Batu 41/2, Cheras, di sini antara pukul 4.15 petang hingga 4.30 petang, 8 Ogos 2010.

Jakarullah yang hadir memakai kemeja T berwarna merah jambu, didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar yang tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Hakim Datin M. Kunasundary menetapkan 15 Jun untuk sebutan semula kes.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain