suria

Kerajaan Belum Buat Keputusan Cadangan MAHB Naik Caj Perkhidmatan

Datuk Ab Aziz Kaprawi

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan terhadap cadangan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) untuk menaikkan caj perkhidmatan penumpang (PSC), persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata cadangan tersebut masih dalam kajian dan perbincangan di peringkat kementerian bagi memastikan ia tidak menjadi bebanan kepada rakyat, serta memberi impak negatif kepada syarikat penerbangan khususnya syarikat penerbangan tempatan.

"Pihak MAHB memang ada memohon kepada kita untuk menaikkan caj PSC ini tetapi sehingga kini kita belum buat keputusan untuk bersetuju, jadi tidak timbul isu caj ini akan naik setakat ini," katanya menjawab soalan Datuk Mohd Zaim Abu Hasan (BN-Parit) yang mahu kerajaan menyatakan asas bagi menaikkan caj perkhidmatan penumpang seperti dicadangkan oleh MAHB.

Menjawab soalan tambahan Mohd Zaim berhubung kenaikan caj pengendalian penerbangan udara (ANFC) oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) baru-baru ini, Ab Aziz berkata kenaikan tersebut tidak mempengaruhi harga tiket penerbangan dengan ketara.

Beliau berkata kerajaan akan memastikan kenaikan tersebut tidak akan membebankan penumpang terutama penumpang domestik yang menjadikan pengangkutan udara sebagai pengangkutan utama.

Ini adalah kerana 55 peratus daripada 85 juta penumpang pengangkutan udara  merupakan penumpang domestik, kata Ab Aziz.

"Saya difahamkan di lapangan terbang luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak, DCA memberikan diskaun sehingga 50 peratus, ini menjamin kos penerbangan domestik sentiasa rendah walaupun terdapat kenaikan caj tersebut," katanya.

April lalu, DCA mengumumkan caj ANFC terhadap pengendali syarikat penerbangan akan dilaksanakan secara berperingkat dengan maksimum peningkatan sekali ganda.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata tindakan itu perlu diambil memandangkan ANFC tidak disemak dalam masa lebih 40 tahun, manakala caj lain seperti pengeluaran Sijil Pengendalian Udara atau sijil layak terbang tidak disemak sejak 1996.

Artikel Lain