suria

Seorang Lelaki Ditahan Selepas Polis Temui Pistol, Peluru Dalam Kereta Safee Sali

JOHOR BARU: Seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan bersama pistol dan 30 peluru dalam kenderaan milik penyerang skuad bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Safee Sali.

Pistol jenis Smith & Wesson serta peluru itu ditemui dalam beg yang diletakkan di tempat duduk belakang kereta pacuan empat roda (4WD) Ford Ranger.

Pihak polis menahan kenderaan itu pada sekatan jalan berhampiran susur keluar Kempas di Lebuh Raya Utara Selatan pada tengah hari 15 Mei lalu.

Safee yang memberi keterangan di Balai Polis Johor Baru (Utara) pada Isnin berkata, dia menerima panggilan daripada pihak polis memaklumkan perkara itu ketika sedang meraikan kejayaan JDT menjulang Piala FA.

JDT menewaskan PKNS FC 2-1 pada final yang berlangsung di Stadium Shah Alam pada Sabtu malam.

"Saya bersama rakan sepasukan meraikan kejayaan kami bersama penyokong di Segamat apabila menerima panggilan mengenai penahanan lelaki itu pada tengah hari Ahad.

"Sememangnya saya terkejut dan marah kerana lelaki itu menyalahgunakan kepercayaan saya kerana dia bukan sahaja membawa kereta saya tanpa kebenaran, malahan membawa senjata api," katanya kepada wartawan di luar balai polis berkenaan.

Safee berkata, dia tidak mengenali suspek kerana ia kali pertama meninggalkan kenderaannya di bengkel yang terletak di Taman Setia Tropika untuk dibaiki.

"Sepatutnya saya mengambil semula kereta itu pada Selasa (17 Mei), tetapi polis memaklumkan ia perlu ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Difahamkan suspek yang mempunyai rekod jenayah mendakwa dia menemui senjata api itu ketika memancing bersama rakannya di Pasir Gudang bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek telah ditahan reman bagi membantu siasatan.

Beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes berkenaan supaya menghubungi hotline 07-2212999 atau membuat laporan di balai polis berdekatan.



Safee Sali, JDT, peluru, Ford Ranger

Artikel Lain