suria

Calon Perlu Ditapis Sebelum Tanding Pilihan Raya - SPRM

Datuk Seri Mustafar Ali
KUALA KANGSAR: Setiap calon yang dipilih untuk bertanding pada pilihan raya perlu ditapis sebaik sahaja nama mereka diserahkan parti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali berkata ia adalah proses biasa dalam tapisan calon seperti yang dilaksanakan SPRM secara berterusan pada masa ini.

"Memang biasa dalam soal tapisan calon yang dibuat melibatkan semua parti kerana kita tidak kira siapa. Terpulang kepada pihak berkenaan (parti) untuk menyalurkan maklumat kerana tapisan itu perkara biasa dilakukan pihak kami," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Beliau diminta mengulas mengenai proses tapisan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar berikutan kematian anggota parlimennya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Terdahulu, Mustafar menyaksikan majlis menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) antara Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) dan SPRM, di sini hari ini.

Ia ditandatangani oleh Rektor KUISAS Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi dan Pengarah SPRM Perak Datuk Noraziah Abdul Manaf.

Mengenai CIP, Mustafar berkata terdapat lima prinsip dan 10 inisiatif dalam ikrar yang ditandatangani termasuk kod etika antara institusi bersama SPRM bagi mencegah rasuah.

"SPRM mengucapkan tahniah kepada KUISAS kerana komitmen yang jitu dalam memastikan bagaimana urus tadbir dalam institusi dan urusan tadbir mengenai rasuah akan disebar luas kepada pelanggan dan pemegang saham KUISAS.

"CIP ini bukan sebagai satu hiasan tetapi di dalam CIP ini terkandung inisiatif dalam membantu pencegahan rasuah akan dilaksanakan oleh SPRM," katanya.

Sementara itu, Nordin berkata inisiatif itu diambil bertujuan untuk menyokong usaha pencegahan rasuah di samping mendidik warga KUISAS supaya menjauhi rasuah.

"Ia (CIP) juga bagi memastikan institusi ini diyakini dalam usaha memerangi rasuah. Ia penting bukan sahaja kepada kakitangan di sini tetapi kepada pelajar sebelum mereka memasuki alam pekerjaan, mereka diberikan langkah pencegahan rasuah oleh SPRM. Saya harap rasuah tidak bertapak di KUISAS," katanya.

Artikel Lain