suria

Ali Tinju Mahu Rosakkan Reputasi Saya - Jamal

Datuk Jamal Md Yunos
PETALING JAYA: Ketua Umno bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos telah membuat laporan polis terhadap bekas tentera, Mohd Ali Baharom, atau Ali Tinju, lebih awal, sebelum laporan terhadapnya dibuat pada Khamis.

Dalam laporan yang difailkan di Balai Polis Sekinchan pada 2.15 pagi Khamis, Jamal, pemimpin perhimpunan Baju Merah berkata beliau terjumpa posting di Facebook Mohd Ali yang dikatakan merosakkan nama baiknya.

"Saya mahu menafikan kenyataan (Mohd Ali) yang mempunyai niat tidak baik dan bertujuan untuk menjatuhkan reputasi saya dan mencederakan saya dan keluarga saya.

"Ini adalah berkaitan dengan kenyataan yang telah dibuat olehnya sebelum ini. Saya harap pihak polis dapat menyiasat dan mengambil tindakan yang perlu," kata Jamal dalam laporannya.

Jamal memetik posting di laman Facebook yang didakwa dibuat oleh Mohd Ali, yang berkata beliau akan membuat laporan polis terhadap Jamal pada hari yang sama, jam 2 petang.

Dalam laporannya, Jamal memasukkan satu kenyataan yang didakwa dibuat oleh Mohd Ali iaitu: "Negara ini ada undang-undang tak boleh lawan sesuka hati. Saya Mohd Ali Haji Baharom (Ali Tinju) esok jam 2 petang ke balai polis buat report kes Datuk Jamal Ketua Umno Bahagian Sungai Besar ugut saya pukul kasi mati, maki-maki bahasa kesat, tembak."

Mohd Ali, dalam laporannya, mendakwa Jamal telah mengancam untuk memukul dan menembaknya.

Beliau memberitahu pemberita di luar Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi pada Khamis bahawa Jamal telah menghubunginya pada kira-kira pukul 6.30 petang Rabu selepas beliau membuat kenyataan bahawa Jamal tidak layak dan Barisan Nasional (BN) akan kalah teruk jika bertanding di PRK Sungai Besar.


Katanya, Jamal bersikap kurang ajar dengannya melalui telefon dan mula mengancam untuk memukul dan menembaknya.

Artikel Lain