suria

MAHB Lancar WiFi Lapangan Terbang Di KLIA, KLIA2

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melancarkan perkhidmatan WiFi Lapangan Terbang dengan dua ciri utama, iaitu akses percuma dan akses premium di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 di sini.

Pengarah Urusan, Datuk Badlisham Ghazali berkata, perkhidmatan itu adalah sebahagian daripada lebih 40 inisiatif dikenal pasti di bawah Pengalaman Penuh Lapangan Terbang, tunggak strategik di bawah pelan perniagaan lima tahun yang baru dilancarkan MAHB, Landasan Menuju Kejayaan 2020.

"Dengan WiFi Lapangan Terbang, pengguna lapangan terbang boleh mengguna e-mel atau berkongsi pengalaman dengan orang tersayang di media sosial menggunakan akses percuma selama sejam," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Perkhidmatan premium WiFi, berharga RM8, menawarkan kuota tanpa had selama 24 jam dan pada kelajuan 2Mbps bagi setiap peranti.

Akses premium WiFi lapangan itu boleh dibeli dalam talian melalui laman pendaratan WiFi Lapangan Terbang dan juga dengan tunai di sebarang mesin layan diri di terminal atau mana-mana outlet Eraman yang mengambil bahagian.

Mengenai jerebu yang dijangka bermula bulan depan dan berlarutan sehingga Oktober, Badlisham berkata, pengendali lapangan terbang itu bersedia menghadapinya.

"Sebelum ini kami telah beberapa kali menghadapi insiden jerebu yang teruk dan kami sering berhubung dengan Jabatan Penerbangan Awam untuk memastikan landasan selamat untuk pelepasan dan pendaratan," katanya dengan menambah, penerbangan akan dibatalkan jika mendapat arahan daripada jabatan itu.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, Malaysia dijangka mengalami jerebu rentas sempadan mulai bulan depan sehingga Oktober berikutan cuaca panas dan kering di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.

Jerebu itu, bagaimanapun, mungkin sederhana berikutan fenomina La Nina yang dijangka berlaku dalam tempoh yang sama, yang membawa hujan ke beberapa kawasan di Semenanjung.

KLIA, KLIA2

Artikel Lain