suria

Cuaca Musim Sejuk Mungkin Ganggu Usaha Jejaki MH370

KUALA LUMPUR: Keadaan cuaca musim sejuk di selatan Lautan Hindi mungkin mengganggu operasi menjejaki pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia berkata apabila kawasan itu mengalami musim sejuk, ketinggian ombak di kawasan pencarian dijangka mencapai 12 meter dan tiupan angin sehingga 50 knot.

"Operasi pencarian yang telah berlarutan seloama dua tahun mungkin terganggu tetapi akan disambung semula apabila keadaan cuaca mengizinkan," kata agensi itu dalam satu kenyataan Rabu.

Pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 bersama 239 orang hilang dari imbasan radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac,  2014.

Opeerasi pencarian kini tertumpu di selatan Lautan Hindi, yang dipercayai sebagai tempat penerbangan MH370 bersemadi.

Setakat ini, JACC berkata operasi pencarian telah meliputi lebih 105,000 kilometer persegi di dasar laut.

Tiga buah kapal iaitu Fugro Discovery, Fugro Equator dan Dong Hai Jiu 101 kini menjalankan operasi di kawasan pencarian di Lautan Hindi.

Agensi itu berkata keadaan cuaca yang buruk mendorong anak kapal Fugro Discovery mendapatkan kembali kenderaan tunda yang hilang dan mengelakkan keadaan cuaca pada 8 Mei.

Ia dijangka berlepas ke pelabuhan Fremantle, Australia hari ini, manakala Fugro Equator meninggalkan Fremantle menuju kawasan pencarian pada 6 Mei tetapi cuaca buruk memperlahankan pelayarannya ke kawasan pencarian.

"Dong Hai Jiu 101 telah selesai menguji sistem kenderaan tunda SLH-ProSAS-60 dan belayar menuju kawasan pencarian pada 10 Mei," kata agensi itu.

MH370, musim sejuk, JACC

Artikel Lain