suria

Pelajar Tingkatan Lima Ditangkap Selepas Menyamun

SUNGAI PETANI: Seorang pelajar lelaki tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini, ditahan polis selepas disyaki menyamun seorang wanita berusia 49 tahun di Taman Patani Jaya, di sini, kira-kira pukul 5 pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa berkata, kejadian dipercayai berlaku semasa mangsa yang berada di dalam kereta menunggu rakannya membuka pintu rumah sebelum didatangi tiga lelaki menaiki dua motosikal.

"Mangsa mendakwa diacukan sebilah pisau manakala salah seorang suspek menuju ke tempat duduk penumpang lalu mengambil beg bimbit berisi dokumen dan buku resit serta satu telefon bimbit jenama Lenovo milik mangsa, sebelum suspek melarikan diri.

Rakan mangsa yang tiba kemudiannya menghubungi pasukan sukarela Skuad Bantuan Krisis MCA memaklumkan mengenai kejadian dan tidak lama kemudian mangsa dimaklumkan bahawa salah seorang suspek berjaya ditangkap tidak jauh dari situ," katanya.

Md Zukir berkata, mangsa kemudiannya ke lokasi suspek ditangkap dan mendapati barang miliknya ada bersama suspek lalu suspek kemudiannya diserahkan kepada polis.

"Siasatan lanjut mendapati pelajar berusia 17 tahun itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau bahkan siasatan awal juga mendapati ia tidak berkaitan dengan kumpulan kongsi gelap.

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi menjejaki dua lagi suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Polis, Samun

Artikel Lain