suria

Operasi Menyiasat, Kesan Bangkai Helikopter Dijalankan Kementerian Pengangkutan

KUCHING: Kementerian Pengangkutan akan menjalankan operasi menyiasat dan mengesan bangkai helikopter Eurocopter AS350 yang terhempas di Sebuyau, Khamis lepas, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman.

Mengumumkan perkara itu kepada pemberita di sini, Rabu, beliau berkata penglibatan polis dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan ditamatkan pada 4 petang hari ini kerana kesemua enam penumpang helikopter sudah ditemukan.

"Bagaimanapun sekiranya Kementerian Pengangkutan memerlukan bantuan polis, pihak kami sedia membantu," katanya dan menurutnya alat pengesan logam sonar yang lebih canggih akan tiba untuk misi mencari itu.

Beliau berkata mayat juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas, yang ditemukan pada 10.35 pagi Isnin lepas, juga telah disahkan identitinya.

"Pihak kami sedang menunggu ketibaan anggota keluarganya untuk menuntut mayatnya, kini berada di bilik mayat Hospital Umum Sarawak dan akan disemadikan di Bau pada hari ini juga.

"Selepas upacara pembakaran, abu mayat akan dibawa balik ke Filipina," katanya.

Muhammad Sabtu berkata penggunaan alat pengesan itu lebih sesuai pada peringkat ini kerana sungai Batang Lupar dihuni banyak buaya.

"Kami juga menasihatkan supaya tidak menggunakan bahan letupan kerana Pulau Seduku di kawasan itu merupakan santuari buaya.


"Dengan alat pengesan itu, nyawa mereka yang terbabit dalam operasi mengesan bangkai helikopter itu tidak menghadapi risiko," katanya dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah membantu termasuk penduduk kampung.

Dalam insiden pada 5 Mei lepas, helikopter yang membawa enam penumpang dilaporkan hilang pada 4.12 petang sejurus berlepas dari Betong untuk ke Kuching.

Lima lagi penumpang helikopter itu ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon dan suaminya Asmuni Abdullah, anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Muhammad Khairil Anuar Wan Ahmad, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Sundaran Annamalai dan pengawal Noriah, Ahmad Sobri Harun.

Mayat kelima-lima mereka ditemukan lebih awal dan telah dibawa ke kampung halaman masing-masing untuk pengebumian.

Artikel Lain