suria

Kajian Kebolehlaksanaan Projek Terowong Bawah Laut Dijangka Siap Julai Ini

GEORGE TOWN: Laporan kajian kebolehlaksanaan Projek Terowong Bawah Laut Pulau Pinang, yang menghubungkan Persiaran Gurney di bahagian pulau dan Bagan Ajam di tanah besar, dijangka siap Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Lim Hock Seng berkata setakat ini, semua kajian termasuk kajian hydrolik dan geologikal oleh kontraktor projek telah 83 peratus siap.

"Selepas siap dengan laporan kajian kebolehlaksanaan, pihak Consortium Zenith-BUCG Sdn Bhd akan mula dengan reka bentuk terperinci projek terowong yang akan dibina sekurang-kurang 20 meter di bawah dasar laut," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata semua kerja-kerja projek itu termasuk tiga jalan utama  berjalan mengikut jadual.Hock Seng berkata, terowong sepanjang 7.2 kilometer yang mempunyai empat lorong itu dijangka siap mengikut jadual iaitu 2025.

Hock Seng juga menerangkan bahawa projek terowong termasuk tiga jalan utama yang bernilai RM6.341 bilion itu, telah disalah tafsir oleh Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata nilai RM305 juta adalah bagi kajian kebolehlaksanaan, reka bentuk terperinci dan kajian impak alam sekitar.

"Kos untuk kajian kebolehlaksanaan bagi tiga projek jalan-jalan utama adalah RM31.269 juta manakala kos kajian kebolehlaksanaan bagi projek terowong ialah RM20 juta, menjadikan jumlah kajian kebolehlaksanaan RM51.269 juta iaitu 0.93 peratus daripada kos pembinaan," katanya.

Hock Seng yang menjawab persoalan Abdul Rahman juga berkata jumlah RM135 juta yang dibayar kepada sebuah syarikat swasta merupakan bayaran kemajuan kajian dan reka bentuk terperinci yang dijalankan.

Jumaat lepas, Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan meminta kerajaan DAP Pulau Pinang menjelaskan kenapa jumlah kos bagi laporan kajian kebolehlaksanaan Projek Terowong Bawah Laut Pulau Pinang mencapai hingga RM305 juta.

Projek terowong dasar laut ialah satu daripada pelan jangka panjang empat fasa bagi mengatasi kesesakan trafik yang agak kronik di Pulau Pinang.-- Bernama

Artikel Lain