suria

Ibu Ahli Parlimen Kuala Kangsar Pasrah Ketentuan Ilahi

Rahmah Abdullah melihat gambar Wan Mohammad bersama keluarganya.

KUALA KANGSAR: "Saya reda, hidup dan mati ketentuan Allah," demikian luahan Rahmah Abdullah, 70-an ibu kepada Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Wan Mohammad Khair-il, Pengerusi Lembaga Minyak Malaysia (MPOB), merupakan  antara enam orang yang terlibat dalam nahas helikopter di kawasan Sebuyau, Sarawak petang Khamis.

Rahmah berkata beliau mendapat berita mengenai kehilangan anaknya itu daripada menantunya yang hanya ingin dikenali sebagai Farhaini kira-kira pukul 9 malam.

"Semasa menantu saya memberitahu mengenai kejadian itu saya sedang menonton  musabaqah Al-Quran," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di sini lewat malam Khamis.

Sementara itu, adik Wan Mohammad Khair-il, Wan Mohd Khir Johari, 53, berkata beliau terkejut menerima berita kehilangan abangnya daripada seorang rakan di Pejabat Menteri Besar Perak.

"Saya menerima maklumat mengatakan sebuah helikopter hilang dari radar dan mungkin abangnya berada di dalam helikopter itu.

"Anak rakan saya yang berada di Sarawak kemudian menghubungi saya dan mengesahkan perkara itu," katanya.

Sementara itu anak Wan Mohammad Khair-il, Wan Emir Astar dalam akaun Facebook dan Twitternya meminta orang ramai untuk terus mendoakan keselamatan kesemua penumpang.

"Mohon doakan keselamatan ayahanda, Wan Khair-il Anuar, bersama mereka dalam helikopter yang hilang di Sarawak. Allah is all knowing all wise," katanya.

Helikopter jenis Eurocopter AS350 itu berlepas dari Betong pada 4.12 petang dalam penerbangan ke Kuching yang kali terakhir berhubung dengan menara kawalan pada 4.15 petang, setelah tiga minit berlepas.

Sarawak, Helikopter, Kuala Kangsar

Artikel Lain