suria

Nahas Helikopter: Hubungan Terakhir Tiga Minit Setelah Berlepas - KP DCA

KUCHING: Hubungan terakhir yang dibuat juruterbang helikopter membawa seorang timbalan menteri dan empat lagi penumpang semalam ialah pada 4.15 petang, tiga minit setelah berlepas.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata juruterbang itu memberitahu bahawa mereka dijangka akan berada di kawasan Simunjan dalam masa kira-kira 20 minit setelah berlepas pada pukul 4.12 petang.

"Pengawal trafik udara Simunjan cuba menghubungi pesawat itu pada 4.28 petang tetapi tiada respons. Beberapa lagi cubaan dilakukan untuk menghubungi helikopter itu pada 4.29 petang, 4.39 petang dan 4.56 petang.

"Tetapi masih tiada respons daripada helikopter berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beberapa serpihan bahagian helikopter itu ditemui dekat sungai Batang Lupar di Sebuyau, pagi ini (Jumaat).

Azharuddin berkata terdapat empat helikopter di kawasan itu pada ketika itu, sebuah daripadanya hanya seminit berada di belakang helikopter malang itu.

"Kami minta mereka menghubungi helikopter itu tetapi usaha mereka gagal," katanya.

Selepas usaha menghubungi beberapa pihak yang berkenaan dan tiada sebarang isyarat dikesan tentang kedudukan helikopter itu, Azharuddin berkata situasi kecemasan diisytiharkan dan misi mencari dan menyelamat digerakkan pada pukul 7.26 malam tadi.

Beliau berkata pasukan bertindak dibentuk untuk mengendalikan usaha  memberitahu keluarga mereka yang berada di dalam pesawat tu.

Azharuddin berkata penyiasatan masih berjalan dan Hornbill Skyways, syarikat yang menyewakan pesawat itu dari Filipina masih belum digantung operasinya.

Artikel Lain