suria

Pasukan Khas Dihantar Cari Helikopter Hilang - TPM

KUCHING: Pasukan khas diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dihantar bagi menyiasat dan mencari sebuah helikopter dipercayai hilang di kawasan Sebuyau petang Khamis.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata laporan awal yang diperoleh mendapati, helikopter itu sepatutnya terbang pada pukul 4.15 petang dan sampai pada pukul 5 petang, tetapi kini telah terputus hubungan.

"Dipercayai ia berada di Sebuyau berhampiran kawasan laut paya. Polis dan Pasukan Gerakan Am bersama Polis Marin telah dikerah untuk menyiasat.

"Mereka berada di sana dan harap kumpulkan dan peroleh maklumat yang diperlukan untuk tentukan bahawa kelima-lima penumpang berada dalam keadaan selamat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perhimpunan Usahawan Tani Bimbingan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di sini malam Khamis. 

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Timbalannya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Abdul Rahman Johari Abang Openg dan Pengerusi FAMA Tan Sri Badruddin Amiruldin. - BERNAMA

PDRM, helikopter hilang

Artikel Lain