suria

Black 505: Kes Nik Nazmi Dibicara Jun Ini

Nik Nazmi Nik Ahmad.

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menolak permohonan Anggota Exco Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad bagi mengetepikan pertuduhan menganjurkan perhimpunan 'Black 505' tanpa kebenaran di Petaling Jaya, kira-kira tiga tahun lepas.

Sehubungan itu, kes berkenaan akan dibicarakan pada tarikh yang ditetapkan sebelum ini iaitu dari 13 hingga 16 Jun.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Ghazali Cha bersetuju dengan hujah Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin yang bertindak sebagai responden dalam permohonan itu bahawa tidak timbul isu pendakwaan dua kali ketika menuduh semula Nik Nazmi untuk kali ketiga selepas beliau dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 6 Mei 2014.

"Tuduhan kali ketiga terbit daripada keputusan Hakim Mahkamah Sesyen yang melepas tanpa membebaskan pemohon (Nik Nazmi), justeru itu, tuduhan ke atas pemohon adalah sah dan layak untuk dibicarakan," katanya.

Mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Nik Nazmi pada 25 April 2014 selepas membenarkan permohonan beliau untuk menggugurkan pertuduhan ke atasnya, Hakim Ghazali berkata ia diputuskan atas alasan pertuduhan ke atas pemohon tidak berperlembagaan.

Dalam hal ini, beliau bersetuju dengan pihak responden bahawa keputusan untuk membebaskan pemohon seharusnya dibuat selepas perbicaraan kes.

Hakim Ghazali berkata dalam kes ini, Mahkamah Rayuan telah membebaskan pemohon tanpa mendengar kes terlebih dahulu, iaitu di mana tiada keterangan saksi dirakam dan tiada keputusan dibuat atas penilaian yang maksimum.

Beliau bagaimanapun tidak bersetuju dengan hujah pihak responden sebelum ini bahawa keputusan Mahkamah Rayuan untuk membebaskan Nik Nazmi adalah bertentangan dengan undang-undang.

"Ini kerana, jika Mahkamah Rayuan dapati ia (pertuduhan) tidak sah, maka mahkamah tidak punyai pilihan kecuali membebaskan pemohon tanpa sebarang syarat," katanya.

Pada 5 Januari lepas, Nik Nazmi, 34, yang didakwa buat kali ketiga bagi kesalahan itu, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ghazali.

Mengikut pertuduhan, Nik Nazmi yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, didakwa gagal memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dalam tempoh 10 hari sebelum penganjuran program 'Black 505' di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan didakwa melakukan perbuatan itu di Stadium MBPJ, Kelana Jaya di Petaling Jaya pada 8.30 malam, 8 Mei 2013.

Selaku orang kena saman dalam kes itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) Akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000, jika sabit kesalahan.

Nik Nazmi, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), didakwa kali pertama pada 17 Mei 2013. Beliau kemudian membuat permohonan untuk mengetepikan pertuduhan tersebut namun ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini pada 1 Nov 2013.

Pada 25 April 2014, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Nik Nazmi untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Pada 8 Mei 2014, Nik Nazmi yang diwakili peguam Syahredzan Johan didakwa kali kedua terhadap pertuduhan sama.

Bagaimanapun, pada hari sama, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepaskan tanpa membebaskan Nik Nazmi daripada pertuduhan itu selepas hakim tersebut menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.

Hakim itu juga mengambil kira keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Nik Nazmi untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya pada 25 April 2014.- BERNAMA

Nik Nazmi, Black505

Artikel Lain