suria

Malaysia Siasat Amaran Eksport Udang Oleh AS

- Gambar hiasan
PETALING JAYA: Malaysia akan meminta maklumat lanjut daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) berhubung pengeluaran amaran pengimportan udang dari Semenanjung Malaysia.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata eksport udang beku dari Malaysia ke AS diatur dengan pembeli yang berminat, berasaskan kesanggupan penjual atau disifatkan beliau sebagai 'urusan persendirian'.

Beliau berkata proses itu tidak melibatkan kelulusan atau pemantauan daripada mana-mana pihak berkuasa termasuklah kementeriannya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Berikutan kejadian itu, Ahmad Shabery berkata kerajaan telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengawal eksport udang ke AS termasuklah mengetatkan syarat-syarat di tempat pemprosesan di mana ia mesti mendapat kelulusan KKM.

Beliau berkata kementeriannya akan mengambil alih pengeluaran sijil perakuan untuk udang daripada Chamber of Commerce.

Dalam isu yang sama, timbalannya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menggesa pengguna dan pengimport supaya tidak panik dengan amaran FDA itu sehingga kementerian membuat kajian mendalam mengenai perkara itu.

"Kita akan memeriksa laporan FDA Amerika Syarikat dan jika kita mendapati ia adalah benar, kita akan ambil tindakan yang perlu supaya pengeksport mematuhi peraturan dan standard kerajaan Amerika Syarikat," kata Tajuddin.

FDA pada Isnin mengumumkan bahawa Pejabat-Pejabat Daerahnya akan menahan import udang dari Semenanjung Malaysia tanpa pemeriksaan fizikal berikutan keputusan ujian yang mendapati ia mengandungi sisa antibiotik nitrofurans dan chloramphenicol berlebihan.

Notis FDA itu bagaimanapun berkata import udang dari Sabah dan Sarawak dikecualikan daripada amaran tersebut.

Diharamkan di Malaysia dan AS untuk digunakan dalam operasi ternakan makanan laut, nitrofurans dan chloramphenicol adalah sejenis antibiotik yang membantu mencegah penyakit udang tetapi berbahaya untuk kegunaan manusia.

Malaysia adalah salah sebuah daripada 10 pengeksport udang ke AS. Menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Nasional (NOAA), negara itu mengimport 8,311 tan metrik udang dari Malaysia tahun lepas.

Notis itu berkata dari 1 Oktober 2014 hingga 30 September 2015, FDA telah menjalankan ujian terhadap 138 sampel udang dan udang dari Semenanjung Malaysia.

Hasilnya, 45 sampel atau 32 peratus mengandungi sisa kedua-dua bahan-bahan itu.

Notis itu berkata syarikat-syarikat yang memproses atau menghantar udang dari Semenanjung akan diletakkan sebagai 'amaran import'.

Seorang pakar akuakultur berkata terdapat pelbagai cara yang mungkin digunakan penternak udang untuk memerangi penyakit terhadap udang, tetapi beberapa rawatan memakan lebih masa dan tidak seberkesan menggunakan nitrofurans dan chloramphenicol.

Masalah apabila menggunakan dua bahan terlarang itu adalah kesukaran menentukan dos yang diperlukan dengan betul, yang mana ia berbeza mengikut tahap jangkitan bakteria pada udang, saiz kolam dan faktor-faktor lain.

Oleh itu, ada di antara mereka menggunakan dua bahan itu terlalu banyak dan ujian menunjukkan udang-udang mempunyai sisa bahan itu yang berlebihan.

Artikel Lain