suria

56 Organisasi Sokong Penganjuran Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2015

Pengerusi Bersama Malam Wartawan Malaysia 2016 Datuk Dr Chamil Wariya (kiri) beramah mesra dengan penyumbang terbesar Head Media Relation Group Strategic Communications,Petronas Azman Ibrahim (tengah) selepas Majlis Penyerahan Sumbangan pada Malam Wartawan Malaysia (MWM) di Hotel Seri Pacific, Khamis.

KUALA LUMPUR: Penganjuran Hadiah Kewartawanan Malaysia, Institut Akhbar Malaysia-Petronas (HKM MPI-Petronas) 2015 bulan depan  mendapat tajaan bernilai RM657,500 termasuk RM300,000 yang disumbang Petronas.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI Datuk Chamil Wariya berkata pihaknya berbesar hati dengan sokongan yang diterima daripada pelbagai pihak atas penganjuran majlis tahunan itu.

"Sokongan Petronas bagi membiayai hadiah wang tunai kepada pemenang amat kami hargai," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan sumbangan sempena Malam Wartawan Malaysia 2016 di sini, Khamis. 

Tahun ini HKM MPI-Petronas menarik 438 penyertaan media pelbagai bahasa bagi merebut 18 kategori yang dipertandingkan termasuk lima kategori baharu iaitu rekabentuk muka halaman pertama terbaik, infografik terbaik, editorial kartun terbaik, laporan portal terbaik dan laporan radio terbaik.

Chamil berkata pihak jawatankuasa induk bersetuju menambah lima kategori baharu berdasarkan permintaan daripada pihak radio dan portal.

"Setelah berbincang kami bersetuju menambah lima kategori tersebut bagi mengiktiraf semua jenis pengamal media dan akan menambah kategori lain pada anjuran akan datang sekiranya ada elemen media lain yang tercicir," katanya.

Bagi pemenang setiap kategori mereka akan membawa pulang RM10,000 manakala bagi pemenang hadiah utama iaitu Anugerah Kajai, pemenang akan membawa pulang RM30,000 berserta trofi dan sijil.-- Bernama

Artikel Lain