suria

MH17: Keluarga Tambi Jiee Yang Pertama Terima Sumbangan Kerajaan

Rohani (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kerajaan berjumlah AS$30,000 kepada waris keluarga Tambi Jiee yang terkorban dalam tragedi MH17 Drahman Jiee (kanan) dan Madzalina Ghazalee (kiri) dalam satu majlis ringkas penyampaian sumbangan pada Sabtu. Foto Bernama

KUCHING: Keluarga Tambi Jiee, yang terkorban dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 pada 2014, pada Sabtu menjadi keluarga pertama yang menerima sumbangan sekali bayaran berjumlah AS$5,000 dari kerajaan. 

Sumbangan disampaikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim kepada abang sulung Tambi, Drahman Jiee dan kakak kepada isteri Tambi (Ariza Ghazalee), Madzalina Ghazalee dalam satu majlis ringkas di sini.

Majlis tersebut menyaksikan keluarga Allahyarham Tambi Jiee yang terkorban dalam tragedi tersebut bersama isteri dan empat orang anaknya, menerima jumlah keseluruhan AS$30,000. 

"Ini merupakan sumbangan ikhlas kerajaan yang diterajui kementerian saya. Pada mulanya jumlah yang dicadangkan hanyalah RM2,000 hingga RM5,000 sahaja, tetapi atas keprihatinan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) beliau bukan sahaja meluluskan malahan beliau menaikkan jumlah kepada AS$5,000," katanya.

Selain Tambi, 49, tragedi pesawat yang ditembak jatuh dekat sempadan Ukraine-Rusia itu turut mengorbankan isteri Tambi, Ariza Ghazalee, 46, dan empat orang anak mereka Muhammad Afif, 19, Muhammad Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15, dan Muhammad Afruz, 13.

Katanya, sumbangan kepada 37 lagi waris penumpang dan anak kapal warganegara Malaysia akan diberi dalam masa terdekat secara berperingkat. 

Sementara itu, Drahman berkata, pihaknya telah menghantar semua dokumen berkaitan baki pampasan kepada peguam yang dilantik MAS pada Januari lepas, dan kini ia sedang diteliti oleh pihak MAS. 

"Yang dulu dah terima Advance Compensation Payment (ACP), sekarang kita tunggu pampasan yang 'final'. 

"Tarikh belum dimaklumkan. Dokumen (yang berkaitan) saya sudah hantar kepada lawyer yang di 'nominate' oleh MAS Januari lepas," katanya. 

Dalam pada itu Drahman juga berkata, pampasan awal daripada MAS sudah diterimanya pada Julai tahun lepas. - Bernama

MH17, Tambi Jiee

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain